Ketuat Kelamin (Genital Wart)

October 7, 2007 1 comment

unhappy1.jpg

  • Apakah dia Ketuat Kelamin?

Ketuat Kelamin (genital warts, venereal warts atau condyloma acuminata) adalah ketumbuhan kulit yang lembut, lembap, dan tidak sakit. Ia merupakan ketumbuhan kulit yang berwarna merah jambu, keperangan atau seperti warna kulit. Kebanyaakan ketuat kelamin kelihatan seperti kubis bunga (berbiji-biji/berlapis).

Ketuat kelamin tumbuh di atas zakar atau kawasan yang berhampiran zakar,  kawasan dubur, di bibir faraj, dan kadangkala ia muncul di pangkal rahim (saluran berbentuk leher antara uterus dan faraj). Apabila ini berlaku, gejala yang mungkin timbul termasuklah pendarahan semasa pergerakan usus atau sakit ketika membuang air kecil.

Ketuat boleh tumbuh secara sebji-sebiji atau berkelompok. Kadangkala kelompok ketuat terjadi di sekeliling sebiji ketuat besar.

  • Adakah Ketuat Kelamin adalah penyakit yang biasa berlaku/terjadi?

Penyakit ketuat kelamin boleh merebak melalui hubungan seksual. Penyakit ketuat kelamin biasa menjangkiti lelaki dan wanita yang aktif dalam hubungan seksual pada semua peringkat usia, bangsa atau kelas sosial di seluruh dunia.

Pesakit ketuat kelamin mudah menjadi murung dan rendah diri serta kurang berminat terhadap hubungan seks. Sekiranya tidak dirawat, bagi pesakit wanita risiko mendapat barah pangkal rahim meningkat, sementara pesakit lelaki pula menghadapi risiko meningkatnya barah prostat.

  • Bagaimana Ketuat Kelamin boleh dijangkiti?

Penyakit ketuat kelamin disebabkan oleh virus human papillomavirus (HPV). Terdapat banyak jenis HPV dan tidak kesemuanya menyebabkan Ketuat Kelamin.

Cara penyebaran virus HPV ini adalah melalui sentuhan langsung dari kulit ke kulit ketika melakukan hubungan seks melalui faraj, dubur atau secara oral dengan seseorang yang telah pun dijangkiti penyakit tersebut. Ketuat kelamin adalah sangat berjangkit. Anda mempunyai risiko dijangkiti ketuat kelamin setinggi 60% dengan hanya sekali melakukan hubungan seksual dengan pasangan yang menghidap ketuat kelamin ini.

  • Bagaimana saya mendapat virus HPV?

HPV adalah virus yang tersebar melalui hubungan seksual. Satu-satunya cara untuk tidak dijangkiti HPV ialah dengan tidak melakukan hubungan seksual.

Jika anda seorang yang seksual aktif, lakukan hubungan kelamin dengan pasangan kekal yang tidak dijangkiti HPV sahaja, boleh merendahkan risiko anda dijangkiti Ketuat Kelamin.

Jangkitan Ketuat kelamin boleh mengambil masa yang lama untuk timbul atau disedari. Ini kerana masa pengeramannya yang lama. Ini bermakna jarak masa seseorang dijangkiti virus HPV dengan timbulnya Ketuat Kelamin ini boleh mengambil masa berbulan-bulan lamanya dan adakalanya bertahun. Bagi wanita pula, Ketuat Kelamin mungkin menyerang di kawasan yang tidak kelihatan seperti di dalam salur faraj dan di pangkal rahim. Tidak semestinya tanpa tanda atau tanpa kehadiran Ketuat Kelamin menandakan anda tidak dijangkiti HPV.

Penggunaan kondom yang betul boleh mengelakkan jangkitan HPV. Tetapi kondom tidak dapat menutupi keseluruhan kulit yang dijangkiti Ketuat Kelamin.

  • Rawatan Ketuat Kelamin

Sekiranya anda menyedari kehadiran ketuat di kawasan kelamin anda, sila berjumpa doktor anda dengan segera. Doktor anda akan dapat mengesahkan Ketuat kelamin ini dengan pemeriksaan fizikal sahaja. Bagi wanita,  pemeriksaan pap smear boleh dilakukan bertujuan mengesan sebarang kelainan kepada alat kelamin.

Ketuat Kelamin harus dirawat oleg doktor. Jangan sekali-kali merawat sendiri ketuat kelamin. Ketuat Kelamin boleh dihilangkan tetapi virus HPV akan kekal di dalam badan dan tidak boleh dirawati. Ini menerangkan mengapa Ketuat Kelamin ini boleh menyerang kembali setelah dibuang.

  • Apakah yang akan terjadi sekiranya Ketuat Kelamin tidak dirawat?

Ketuat Kelamin boleh tumbuh dan bertambah jika tidak dirawat. Ia juga boleh merebak ke kawasan lain. Jika anda seksual aktif, anda berisiko tinggi memindahkan virus HPV dan jangkitan Ketuat Kelamin ini kepada pasangan anda.

Beberapa jenis HPV boleh menyebabkan berlakunya ketumbuhan sel yang tidak normal di kawasan serviks. Sel-sel yang tidak normal ini boleh bertukar menjadi kanser apabila dibiarkan tanpa rawatan. Beberapa jenis virus HPV juga dikenalpasti boleh mengakibatkan kanser rahim, kanser usus, kanser prostat dan sebagainya.

  • Mengelak jangkitan Ketuat Kelamin

Oleh kerana tiada rawatan yang 100% efektif bagi penyakit ketuat kelamin, ianya adalah penting untuk mengelak penyebaran virus HPV ketuat kelamin yang juga berpotensi menjadi penyebab barah pangkal rahim bagi wanita dan barah prostat bagi lelaki, dengan beberapa cara termasuk :-

» Mengelak dari melakukan hubungan kelamin sehingga selesai tempoh berubat
» Mengamalkan cara yang selamat dengan menggunakan kondom dengan cara yang betul dan menutupi bahagian yang terkena jangkitan penyakit Ketuat Kelamin

Selain itu adalah penting bagi wanita untuk menjalani pemeriksaan pap smear bertujuan mengesan sebarang kelainan kepada alat kelamin dan organ reproduksi anda. Pengesanan awal perubahan yang diperoleh daripada ujian ini adalah langkah pencegahan terbaik bagi mengelakkan barah pangkal rahim.

Maklumat Tambahan:
Virus Human Papillomavirus (HPV)

Rujukan:
http://www.geocities.com/alam_penyakit/PenyakitKelaminCondylomaAcuminata.htm
http://familydoctor.org/online/famdocen/home/common/sexinfections/sti/215.html
http://www.cdc.gov/std/hpv/

HPV (Genital human papillomavirus)

October 7, 2007 Leave a comment

Fakta:

Sekitar 50% daripada mereka yang aktif seks boleh mendapat virus HPV. Kebanyakan dari mereka tidak tahu mereka telah dijangkiti.

  • Apakah Human Papillomavirus (HPV)?

    study1.jpg

HPV adalah nama bagi sekumpulan virus yang merangkumi lebih daripada 100 jenis dan lebih daripada 40 jenis HPV ini disebarkan melalui hubungan seksual. Jenis-jenis HPV tersebut yang menjangkiti kawasan kemaluan dan dikenali sebagai HPV kelamin (Genital HPV).

Virus HPV terbahagi kepada 2 kumpulan utama. Kumpulan pertama boleh menyebabkan Ketuat Kelamin dikenali sebagai “HPV risiko rendah”, dan kumpulan kedua boleh mengakibatkan kanser pangkal rahim bagi wanita, ianya dikenali sebagai “HPV risiko-tinggi”.

Virus HPV bukan virus yang sama dengan virus HIV atau virus Herpes Kelamin / Herpes Simplek. Walaupun kesemua virus-virus ini tersebar melalui hubungan seks, virus-virus ini memberi simtom dan penyakit yang berbeza.

  • Adakah HPV merupakan jangkitan yang kerap berlaku?

HPV kelamin merupakan jangkitan kelamin yang paling kerap berlaku. Ia boleh menjangkiti lelaki dan wanita melalui hubungan hubungan seks. Kebanyakan mereka yang dihinggapi virus HPV ini tidak menyedari bahawa mereka telah dijangkiti kerana tidak mengalami apa-apa gejala. Ini adalah kerana HPV selalunya tidak mempunyai simptom dan akan hilang dengan sendiri.

  • Siapa yang akan dijangkiti?

Sesiapa sahaja yang melakukan hubungan seks dengan orang yang telah dijangkiti HPV. Mengadakan hubungan seks pada usia yang terlalu awal, mempunyai ramai pasangan dan mempunyai pasangan yang sering bertukar ganti pasangan seksual, meninggikan risiko untuk dijangkiti HPV.

HPV boleh menjangkiti lelaki dan wanita dan seterusnya mereka yang dijangkiti ini boleh memindahkan virus HPV ini kepada pasangan yang lain melalui hubungan seks, tanpa mereka sedari. Oleh kerana virus HPV sukar dikesan dan boleh “menyorok” untuk jangka masa yang panjang, seseorang yang dijangkiti itu, boleh “menyimpan” virus HPV ini walaupun telah bertahun tidak melakukan hubungan seks.

Kajian mendapati jangkitan virus HPV disebarkan melalui: Tidak ada kajian yang mengesahkan jangkitan virus HPV disebarkan melalui:
Hubungan seks dengan orang yang dijangkiti virus HPV, iaitu:

  • Melalui faraj dengan orang yang dijangkiti virus HPV
  • Melalui anal/lubang dubur orang yang dijangkiti virus HPV
  • Tempat duduk tandas
  • Bercium di mulut, berpeluk atau berpegangan tangan
  • Kurang menjaga kebersihan diri
  • Berkongsi makanan atau alat/bekas makanan
  • Berenang di kolam mandi awam
  • Apakah yang dimaksudkan dengan HPV “risiko rendah”?

Dikenali sebagai HPV “risiko rendah” kerana ia tidak menyebabkan kanser. HPV “risiko rendah” menyebabkan kesan perubahan yang tidak ketara kepada pangkal rahim wanita. Perubahan tidak ketara ini tidak akan menyebabkan kanser. Ianya tidak berbahaya dan bersifat sementara.

HPV “risiko rendah” boleh juga menyebabkan Ketuat Kelamin. Ketuat Kelamin tidak akan bertukar menjadi kanser. Tiada penjelasan yang jelas mengapa HPV “risiko rendah” yang menyebabkan timbulnya ketuat kelamin ini.

  • Apakah yang dimaksudkan dengan HPV “risiko-tinggi?

Dikenali sebagai HPV “risiko-tinggi” kerana ianya berkait rapat dengan kanser pangkal rahim. HPV “risiko-tinggi” juga dikaitkan dengan kanser di bahagian kelamin yang lain seperti zakar dan dubur. Untuk sesetengah orang, HPV “risiko-tinggi” akan tinggal di dalam badan dan menyebabkan perubahan sel. Perubahan sel inilah yang boleh membawa kepada kanser, jika dibiarkan tanpa apa-apa rawatan.

  • Adakah HPV “risiko-tinggi bermaksud kanser?

Tidak. HPV “risiko-tinggi” bukan kanser. HPV “risiko-tinggi” boleh menyebabkan kanser jika ia terus tinggal didalam badan dan mengubah sel-sel tubuh selama beberapa tahun. Barah pangkal rahim adalah masalah kesihatan yang serius yang diakibatkan oleh HPV “risiko-tinggi”. Walau bagaimanapun, barah pangkal rahim boleh dielak dengan melakukan ujian Pap Smear bagi mengesan sebarang kelainan kepada alat kelamin dan organ reproduksi anda. Pengesanan awal perubahan yang diperoleh daripada ujian ini adalah langkah pencegahan terbaik bagi mengelakkan barah pangkal rahim. Terdapat juga vaksin yang boleh melindungi wanita dari kebanyakan kes kanser pangkal rahim. Sila hubungi doktor anda untuk keterangan lanjut mengenai vaksin ini.

akan bersambung…

Hepatitis B

October 6, 2007 4 comments

depressed2.jpg

PENERANGAN

Hepatitis B adalah penyakit hati yang serius, disebabkan sejenis virus yang menyerang hati. Virus ini dikenali sebagai hepatitis B virus, boleh mengakibatkan jangkitan sepanjang hayat, kecacatan hati (cirrhosis – parut pada hati), barah hati, hati tidak dapat berfungsi, dan kematian. Setakat ini, tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit ini. Imunisasi / Vaksin Hepatitis B boleh didapati untuk semua peringkat umur bagi melindungi dan mencegah jangkitan virus Hepatitis B, bukan menyembuhkannya. Sesetengah pesakit terus membawa virus Hepatitis B di dalam badan mereka walaupun mereka telah pulih daripada jangkitan. Orang-orang seperti ini dipanggil Pembawa. Pembawa Hepatitis B mempunyai risiko tinggi menghidap penyakit-penyakit yang teruk seperti penyakit hati, kerosakan dan barah hati. Barah hati adalah di antara 10 jenis barah yang kerap berlaku di dunia, termasuk di negara kita.

TANDA-TANDA & SIMTOM-SIMTOM

Kira-kira 30% dari pesakit tidak mempunyai apa-apa tanda atau simtom. Kanak-kanak lebih sedikit menunjukkan tanda-tanda atau simtom penyakit ini berbanding orang dewasa.

  • sakit kuning (jaundice)
  • keletihan, kelesuan
  • sakit di bahagian perut
  • hilang selera makan
  • loya, pening, mual, muntah
  • sakit sendi

PENYEBAB:

Virus Hepatitis B

PEMINDAHAN VIRUS

Terjadi apabila darah pesakit Hepatitis B memasuki badan bukan pesakit.

  • Virus Hepatitis B disebarkan melalui hubungan kelamin dengan pesakit tanpa penggunaan kondom (walaupun begitu, tiada jaminan terhadap keberkesanan penggunaan kondom getah untuk mengelak dijangkiti Virus Hepatitis B, tetapi penggunaan yang betul, boleh mengurangkan risiko dijangkiti),
  • berkongsi jarum suntikan,
  • bayi yang dilahirkan kepada ibu yang merupakan pesakit atau pembawa Hepatitis B

Mereka yang berisiko dijangkiti virus Hepatitis B, juga mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti virus hepatitis C dan HIV.

KUMPULAN BERISIKO

  • Orang yang mempunyai ramai pasangan seks, atau pernah dijangkiti Penyakit Kelamin / STDs
  • Lelaki yang melakukan hubungan kelamin dengan lelaki (homoseksual & biseksual)
  • Melakukan hubungan kelamin dengan pengidap atau pembawa virus Hepatitis B
  • Berkongsi jarum suntikan
  • Berkongsi alat penjagaan diri seperti pisau cukur dan berus gigi
  • Bayi yang lahir kepada ibu yabg dijangkiti atau pembawa virus Hepatitis B, akan menjadikan bayi itu pembawa seumur hidup dan menghadapi risiko tinggi menghidap barah hati
  • Bayi/kanak-kanak pendatang dari negara yang mempunyai kadar tinggi jangkitan Hepatitis B
  • Pekerja bidang perubatan dan sukarelawan yang terdedah kepada darah atau penggunaan darah
  • Pesakit yang menggunakan mesin Hemodialysis (cth:pesakit buah pinggang)

PENCEGAHAN

  • Imunisasi / Vaksin Hepatitis B adalah cara perlindungan dan pencegahan terbaik
  • Sekiranya anda melakukan hubungan seks dengan lebih dari satu pasangan, gunakan kondom getah dengan betul dan pada setiap sesi. Harus diingat, tiada jaminan terhadap keberkesanan penggunaan kondom getah untuk mengelak dijangkiti Virus Hepatitis B, tetapi penggunaan yang betul, boleh mengurangkan risiko dijangkiti.
  • Sekiranya anda hamil, anda patut menjalankan pemeriksaan darah untukl mengesan jangkitan Hepatitis B. Bayi yang lahir kepada ibu yang dijangkiti atau pembawa harus diberi suntikan HBIG (hepatitis B immune globulin) dan vaksin dalam masa 12 jam selepas kelahiran.
  • Jangan melakukan suntikan jika anda mengambil dadah; berhenti dan dapatkan rawatan atau menyertai program pemulihan
  • Sekiranya anda perlu melakukan suntikan jarum sendiri (cth:pesakit kencing manis), jangan berkongsi jarum suntikan, sebaiknya dapatkan imunisasi Hepatitis A dan B
  • Jangan berkongsi barang penjagaan diri yang mempunyai risiko terkena darah (cth: pisau cukur, pemotong kuku, berus gigi)
  • Tattoo dan bertindik. Anda berisiko dijangkiti sekiranya tukang tattoo atau tindik tidak menjaga peralatan mereka dengan sempurna mengikut prosedur perubatan.
  • Sekiranya anda pesakit atau pernah dijangkiti virus Hepatitis B, jangan menderma darah, organ atau tisu badan anda.
  • Sekiranya anda pekerja bidang perubatan dan pekerja sukarela yang terdedah kepada darah / penggunaan darah, sila dapatkan imunisasi/vaksin Hepatitis B, serta patuhi prosedur dan rutin keselamatan serta prosedur pengendalian jarum atau objek tajam yang betul

IMUNISASI / VAKSIN

23463860.jpgSemenjak tahun 1989 Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyediakan perkhidmatan Imunisasi/Vaksin Hepatitis B untuk bayi yang baru lahir. Lindungilah bayi anda daripada Hepatitis B melalui Imunisasi. Oleh kerana bayi yang baru lahir mempunyai risiko untuk menjadi pembawa Hepatits B, mereka perlu diberikan imunisasi/vaksin Hepatitis B. Imunisasi ini adalah selamat dan tidak memberikan kesan-kesan sampingan.

  • Imunisasi Hepatitis B perlu diberikan melalui 3 dos seperti berikut:
  • Dos Umur :
    • Dos Pertama Pada Hari Kelahiran
    • Dos Kedua Apabila Berumur Satu Bulan
    • Dos Ketiga Apabila Berumur Lima Bulan

Tiga dos diperlukan untuk memastikan bahawa bayi anda menerima perlindungan lengkap terhadap Hepatitis B.

Bagaimana Imunisasi ini boleh didapati?

  • Perkhidmatan ini boleh didapati di semua hospital dan klinik kerajaan serta hampir semua hospital swasta
  • Jika anda bersalin di hospital bayi anda akan diberi suntikan dos pertama oleh jururawat di hospital
  • Jika jururawat desa atau bidan kerajaan menyambut kelahiran dirumah, beliau akan memberikan suntikan dos pertama sejurus selepas kelahiran
  • Sekiranya bidan kerajaan yang menyambut kelahiran di rumah tidak dapat memberikan suntikan dos pertama sejurus selepas dilahirkan atau jika kelahiran disambut oleh bidan kampung, anda dinasihat supaya meminta suami atau ahli keluarga yang lain membawa bayi tersebut ke pusat kesihatan yang berhampiran dengan secepat mungkin untuk suntikan dos pertama
  • Bagi suntikan dos kedua dan dos ketiga, anda dikehendaki membawa bayi anda ke hospital atau pusat kesihatan yang berhampiran pada masa yang ditetapkan

 3 Dos Imunisasi Hepatitis B Akan Melindungi Bayi Anda Sepenuhnya

KESAN JANGKA PANJANG TANPA IMUNISASI/VAKSIN

Jangkitan kronik boleh berlaku kepada:

  • 90% bayi ketika kelahiran
  • 30% kanak-kanak berumur 1–5 tahun
  • 6% selepas umur 5 tahun

Kematian akibat penyakit hati yang kronik berlaku kepada:

  • 15%–25% daripada pesakit yang jangkiti virus Hepatitis B kronik

Herpes Kelamin / Herpes Simpleks (HSV-Type I dan HSV-Type II)

October 5, 2007 1 comment

depressed.jpg

  • Apakah dia Herpes Simpleks / Herpes Kelamin?

Herpes Simpleks adalah sejenis virus – terbahagi kepada dua jenis iaitu Herpes Simpleks Virus jenis 1 (HSV-1) dan Herpes Simpleks Virus jenis 2 (HSV-2).

Herpes Kelamin adalah penyakit yang berpunca dari serangan virus Herpes Simpleks. Kebanyakan Herpes kelamin disebabkan oleh HSV-2.

HSV-1 biasanya menyerang bahagian bibir, sekitar mulut dan mata tetapi ada juga yang menyerang kelamin. HSV-2 umumnya menyerang kawasan kelamin, dan disebarkan melalui hubungan seksual, ini yang disebut herpes kelamin.

Gejala penyakit ini akan menyebabkan timbulnya satu atau beberapa lepuh atau gelembung-gelembung kecil berisi air di kawasan yang dijangkiti. Apabila gelembung-gelembung kecil ini pecah, ia akan meninggalkan kesan melecet/melepuh. Lecetan tersebut akan mengering dan sembuh seperti biasa. Walaupun begitu, kebanyakan pesakit tidak mengalami sebarang sintom atau tanda-tanda yang jelas dijangkiti virus HSV-1 atau HSV-2.

Bagi serangan kali pertama (first outbreak), proses pemulihan akan mengambil masa 2 hingga 4 minggu untuk pulih. Kebiasaannya, lepuhan dan gelembung kecil berisi air ini akan menyerang semula selepas beberapa minggu atau beberapa bulan dari serangan pertama, namun, serangan selanjutnya selalunya kurang teruk dan mengambil masa yang lebih pendek untuk sembuh berbanding serangan sebelumnya.

Walaupun jangkitan virus HSV adalah kekal selamanya di dalam badan, semakin lama jumlah serangan akan semakin berkurangan selepas beberapa tahun.

  • Adakah Herpes Kelamin sejenis penyakit yang biasa dijangkiti/terjadi?

Kajian mendapati Herpes Kelamin adalah merupakan antara jangkitan penyakit kelamin yang paling banyak dilaporkan.

Jangkitan Herpes Kelamin HSV-2 adalah lebih biasa menjangkiti wanita (kira-kira 1 daripada 4 wanita) berbanding lelaki (1 daripada 5 lelaki). Ini mungkin diakibatkan oleh pemindahan virus ini adalah selalunya dari lelaki ke wanita.

  • Bagaimana seseorang itu boleh dijangkiti?

Virus HSV-1 dan HSV-2 boleh dikesan dan dilepaskan daripada lepuh atau gelembung kecil berisi air yang diakibatkan oleh virus tersebut. Ia tersebar melalui sentuhan. Walau bagaimana pun, virus ini tetap boleh disebarkan oleh pembawa HSV-1/HSV-2 walaupun pada ketika serangan lepuhan tidak berlaku/timbul pada mereka. Kebiasaannya, seseorang akan dijangkiti virus HSV-2 melalui aktiviti seksual iaitu melalui hubungan kelamin dengan penghidap Herpes Kelamin HSV-2.

Dengan kata lain, pemindahan virus boleh berlaku dari mereka yang dijangkiti HSV-2 yang mungkin tidak tahu menahu mereka telah dijangkiti kerana tidak ada apa-apa tanda mereka dijangkiti atau diserang Herpes Kelamin HSV-2.

HSV-1 juga boleh mengakibatkan Herpes Kelamin, tetapi ia selalunya mengakibatkan jangkitan pada mulut dan bibir, dan dikenali sebagai “demam lepuh”. Jangkitan Kelamin oleh virus HSV-1 boleh berlaku melalui hubungan “oral-kelamin” dan juga melalui hubungan “kelamin-kelamin” dengan mereka yang telah dijangkiti HSV-1.

Serangan Penyakit Kelamin HSV-1 kurang berlaku berbanding serangan Penyakit Kelamin HSV-2.

  • Apakah tanda-tanda dan simtom Herpes Kelamin?

Kebanyakan dari mereka yang dijangkiti virus HSV-2 tidak tahu bahawa mereka telah dijangkiti. Serangan pertama selalunya berlaku 2 minggu selepas virus dipindahkan, dan lepuh-lepuh atau gelembung-gelembung kecil berisi air itu akan sembuh di antara 2 hingga 4 minggu.

Tanda-tanda dan simtom-simtom lain pada peringkat pertama jangkitan antaranya seperti; diserang demam, dan kelenjar membengkak. Walau bagaimana pun, kebanyakkan individu yang dijangkiti virus HSV-2 mungkin tidak pernah diserang lepuh atau gelembung kecil berisi air, atau serangan yang terlalu sedikit dan tidak jelas dan mereka mungkin menganggap ianya hanyalah gigitan nyamuk atau serangga atau sakit kulit biasa yang mengakibatkan tanda bintik merah kecil.

Kebanyakkan dari mereka yang dikesan menghadapi serangan Herpes Kelamin untuk pertama kali, akan diserang semula sebanyak 4 ke 5 kali dalam setahun. Serangan ini akan menjadi semakin berkurangan selepas beberapa ketika.

  • Apakah komplikasi yang diakibatkan oleh Herpes Kelamin?

Herpes Kelamin mengakibatkan rasa tidak selesa dan sakit/pedih di kawasan kelamin disebabkan luka-luka kecil dan lecet (akibat lepuh dan gelembung kecil berisi air itu pecah), dan boleh menyerang berulang kali di bahagian alat sulit. Jangkitan herpes boleh menjadi lebih teruk bagi mereka yang mempunyai sistem imunisasi badan atau daya tahan sakit yang lemah.

Tidak kira apa pun tahap keseriusan simtom, Herpes Kelamin sering mengundang tekanan psikologi kepada mereka yang tahu mereka telah dijangkiti.

Tambahan lagi, bagi wanita hamil yang mengidap Herpes Kelamin, kemungkinan untuk menjangkiti janin sangat tinggi dan mendedahkan bayi dengan meningitis malah kerosakan otak. Sekiranya wanita hamil ini dijangkiti Herpes Kelamin pada masa awal kehamilan (sebelum 4 bulan), ianya berpotensi untuk mengakibatkan jangkitan teruk yang boleh mengakibatkan kecacatan kekal pada bayi atau membawa kepada kematian bayi / keguguran.

Sungguh pun begitu, jangkitan kepada bayi adalah jarang terjadi tetapi risiko untuk terjadi tetap ada dan adalah sangat mustahak bagi wanita hamil yang dijangkiti Herpes Kelamin dan juga pasangannya berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat dan rawatan dengan segera bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

  • Bagaimana Herpes Kelamin dikesan?

Tanda-tanda dan simtom-simtom berkaitan HSV-2 boleh dikesan dengan beberapa cara. Doktor anda selalunya dapat mengesan Herpes Kelamin dengan hanya melihat kawasan yang dijangkiti apabila berlaku serangan atau jangkitan, atau dengan mengambil contoh sel dari lepuh atau juga mengambil contoh darah anda untuk diuji di makmal. Jangkitan HSV agak sukar dikesan bila tidak berlaku serangan (outbreak). Pengambilan contoh darah boleh membantu, walaupun keputusannya kadangkala tidak begitu jelas.

  • Adakah terdapat rawatan untuk herpes?

Tiada rawatan khas untuk menyembuhkan herpes, tetapi ubat antiviral boleh memendekkan tempoh dan menghalang serangan herpes berlaku. Jagalah kesihatan kelamin dan sistem reproduksi anda, hindari stress, lakukan olah raga teratur, dapatkan rehat fizikal dan mental yang cukup dan amalkan pemakanan yang seimbang dan berkualiti kerana ianya dapat meningkatkan daya tahan tubuh.

Lecithin, AMNE dan royal jelly merupakan makanan tambahan yang mengandungi nutrisi seimbang dan berkualiti yang diperlukan oleh tubuh. Pemakanan secara teratur akan menjaga daya tahan dan stamina tubuh sehingga mampu mencegah virus agar tidak aktif.

  • Bagaimana Herpes boleh dielak?

Cara yang paling pasti untuk mengelakkan pemindahan dan jangkitan Penyakit Kelamin, termasuk Herpes Kelamin adalah dengan tidak melakukan hubungan seksual, atau berada di dalam hubungan monogamous (hanya satu pasangan) dengan pasangan yang telah disahkan secara klinikal tidak dijangkiti virus HSV.

Penyakit Herpes Kelamin boleh berlaku kepada kedua-dua lelaki dan wanita di kawasan kelamin yang dilindungi oleh kondom, juga di kawasan yang tidak dilindungi kondom. Menggunakan kondom getah dengan cara yang betul dan pada setiap sesi hubungan kelamin hanya boleh mengurangkan risiko jangkitan. Oleh kerana kondom getah mungkin tidak dapat melindungi sepenuhnya kawasan yang dijangkiti walaupun digunakan dengan cara yang betul, ianya tidak menjamin bahawa jangkitan tidak akan berlaku.

Oleh yang demikian, seseorang yang dijangkiti herpes kelamin harus mengelakkan dari melakukan hubungan kelamin sekiranya simtom-simtom serangan lepuh dan gelembung kecil berisi air ini sedang berlaku. Walaupun begitu, adalah diingatkan bahawa pengidap herpes kelamin masih boleh memindahkan virus tersebut kepada pasangannya walaupun pada ketika pesakit tidak menunjukkan apa-apa simtom.

Pengidap Herpes Kelamin harus bertanggungjawab untuk memberitahu semua pasangan seksnya bahawa mereka mungkin telah dijangkiti virus HSV dan harus mendapatkan nasihat serta rawatan doktor.