Archive

Archive for the ‘Kemandulan dan Penyakit Kelamin’ Category

Kemandulan dan Penyakit Kelamin

April 13, 2012 Leave a comment

Image

Chlamydia dan Gonorrhoea adalah punca utama kemandulan yang diakibatkan oleh penyakit kelamin. Tanpa rawatan, kira-kira 15% wanita dengan chlamydia akan mendapat penyakit radang pelvik (PID). Chlamydia boleh menyebabkan jangkitan pada tiub fallopio tanpa memberi apa-apa gejala kepada wanita yang dijangkitinya. PID dan jangkitan “senyap” ini boleh menyebabkan kerosakan kekal pada tiub fallopio, rahim, dan tisu di sekitarnya, dan seterusnya boleh membawa kepada kemandulan.

75% daripada wanita dan 50% daripada lelaki yang dijangkiti Chlamydia tidak menunjukkan apa-apa tanda atau gejala. Semua wanita yang aktif melakukan hubungan seks, wanita yang mempunyai pasangan baru atau berbilang pasangan adalah disarankan untuk melakukan ujian Chlamydia.

Lelaki yang aktif melakukan hubungan seksual dan kerap bertukar pasangan juga haruslah bertanggungjawab dan melakukan ujian Chlamydia. Komplikasi penyakit Chlamydia jarang berlaku pada lelaki. Walau bagaimanapun jangkitan Chlamydia pada lelaki boleh merebak ke epididymis (salur yang membawa keluar sperma dari testis), mengakibatkan rasa sakit, demam dan boleh mengakibatkan mandul. Lelaki yang dijangkiti Chlamydia juga boleh dengan mudah memindahkan jangkitan tersebut kepada pasangannya menerusi hubungan seksual dan seterusnya meletakkan pasangannya berisiko untuk mandul.

Kemandulan akibat jangkitan penyakit kelamin Chlamydia dan Gonorrhea boleh dielakkan sekiranya ianya dikesan awal dan dirawat dengan segera. Ingatlah bahawa sekiranya kerosakan telah berlaku, tiada antibiotik atau ubat yang dapat merawat kerosakan tersebut. Sayangi masa depan anda, lakukan ujian Chlamydia sebelum terlambat!

Kehamilan dan Penyakit Kelamin

October 18, 2007 2 comments

pregnancy-std.jpgWanita boleh dijangkiti Penyakit Kelamin (STD) sama ada dia hamil atau tidak. Kehamilan tidak menghalang wanita atau bayi yang dikandungnya daripada dijangkiti penyakit kelamin. Malahan, kesan penyakit kelamin boleh menjadi lebih serius pada wanita hamil, dan kadang kala boleh membahayakan nyawa si ibu dan anak. Adalah penting bagi wanita hamil untuk mengetahui kesan buruk penyakit kelamin terhadap kehamilan, cara-cara menangani dan melindungi dirinya dan bayi daripada dijangkiti penyakit kelamin.

  • Adakah jangkitan penyakit kelamin semasa kehamilan sesuatu yang biasa terjadi?

Sesetengah penyakit kelamin seperti Herpes Kelamin dan Bacterial Vaginosis, boleh dikatakan lazim menjangkiti wanita hamil.

  • Apakah kesan Penyakit Kelamin terhadap wanita hamil dan bayi?

Kebanyakan kesan Penyakit Kelamin terhadap wanita hamil adalah sama dengan  wanita yang tidak hamil. Penyakit Kelamin boleh mengakibatkan kanser pangkal rahim dan beberapa kanser yang lain, hepatitis kronik, radang pelvis, kemandulan dan penyakit-penyakit yang lainnya. Kebanyakan penyakit kelamin pada perempuan berlaku secara “senyap”, iaitu tanpa gejala atau tanda.

Penyakit Kelamin pada wanita hamil boleh juga mengakibatkan kelahiran pra-matang, pecah air ketuban sebelum waktu, dan juga jangkitan pada air kencing selepas melahirkan.

Wanita hamil juga boleh memindahkan Penyakit Kelamin mereka kepada bayi sebelum, semasa atau sesudah proses melahirkan. Sesetengah Penyakit Kelamin (seperti sifilis) boleh menyeberangi uri dan menjangkiti bayi di dalam rahim ibu. Sesetengah Penyakit Kelamin pula (seperti gonorrhea, chlamydia, hepatits B, dan herpes kelamin) boleh dipindahkan dari ibu kepada bayi semasa proses melahirkan bayi. HIV pula boleh menyeberangi uri ketika dalam kandungan, menjangkiti bayi semasa proses kelahiran dan tidak seperti Penyakit Kelamin yang lain, ianya juga boleh menjangkiti bayi ketika ibu yang dijangkiti HIV ini meyusukan bayinya dengan susu badan.

Kesan bahaya Penyakit Kelamin terhadap bayi pula termasuklah bayi mati dalam kandungan, bayi dilahirkan pramatang, bayi dilahirkan kurang berat badan (kurang dari 5 pounds), conjunctivitis (jangkitan penyakit mata), pneumonia (radang paru-paru), neonatal sepsis (jangkitan dalam saliran darah bayi), kerosakan saraf (seperti kerosakan otak atau kurang koordinasi dalam pergerakan badan), buta, pekak, hepatitis akut, meningitis dan kerosakan hati.

Sesetengah masalah ini boleh diatasi sekiranya ibu hamil ini menerima penjagaan rutin ketika hamil, seperti melakukan pengesanan Penyakit Kelamin ketika di awal kehamilan dan jika perlu melakukan ujian berulangkali semasa kehamilan dan semasa hampir dengan masa kelahiran. Sesetengah masalah pula boleh diubati jika ianya dikesan ketika kelahiran.

  • Adakah wanita hamil perlu menjalani ujian untuk mengesan Penyakit Kelamin?

Penyakit Kelamin boleh menjangkiti semua wanita tidak kira walau apapun taraf sosioekonimi dan taraf pendidikan umur, bangsa, etnik atau agama. Dengan itu wanita hamil digalakkan menjalani ujian untuk mengesan penyakit kelamin berikut pada masa melakukan ujian kesihatan ketika hamil:

Sesetengah pakar turut menyarankan agar wanita yang pernah melahirkan bayi pra-matang untuk menjalani ujian mengesan jangkitan Bacterial Vaginosis (BV) pada lawatan pertama mereka ke klinik.

Wanita hamil harus menyatakan hasratnya kepada doktor mereka untuk menjalani ujian mengesan penyakit kelamin kerana kebanyakan doktor kebiasaannya tidak melakukan ujian tersebut secara rutin. Walaupun anda telah pernah menjalani ujian mengesan jangkitan penyakit kelamin sebelum kehamilan, anda juga digalakkan untuk melakukan sekali lagi ketika hamil.

  • Bolehkah Penyakit Kelamin dirawat ketika hamil?

Chlamydia, Gonorrhea, Sifilis, Trichomonas, and Bacterial Vaginosis (BV) boleh dirawat dan diubati dengan pengambilan antibiotik ketika hamil. Tiada rawatan atau penawar bagi penyakit kelamin yang diakibatkan oleh virus seperti herpes kelamin dan HIV, tetapi ubat antiviral untuk herpes kelamin dan HIV boleh mengurangkan gejala atau kesan penyakit tersebut pada wanita hamil. Untuk wanita hamil yang menghidap atau dijangkiti herpes kelamin ketika hampir waktu melahirkan, doktor anda akan menggalakkan anda untuk melakukan kelahiran secara pembedahan cesarean (C-section) bagi melindungi bayi anda dari dijangkiti virus HSV/herpes kelamin. Kelahiran secara cesarean juga merupakan salah satu pilihan  untuk wanita hamil yang menghidap HIV.

Wanita hamil yang disahkan bukan penghidap atau pembawa hepatitis B juga boleh mendapatkan vaksin hepatitis B semasa hamil.

pregnant.jpg

  • Bagaimanakah wanita hamil dapat melindungi diri dan kandungan mereka daripada dijangkiti?

Cara yang paling pasti untuk mengelakkan pemindahan dan jangkitan Penyakit Kelamin, adalah dengan tidak melakukan hubungan seksual, atau berada di dalam hubungan monogamous (hanya satu pasangan) dengan pasangan yang telah disahkan secara klinikal tidak dijangkiti penyakit kelamin.

Penyakit Herpes Kelamin boleh berlaku kepada kedua-dua lelaki dan wanita di kawasan kelamin yang dilindungi oleh kondom, juga di kawasan yang tidak dilindungi kondom. Menggunakan kondom getah dengan cara yang betul dan pada setiap sesi hubungan kelamin boleh mengurangkan risiko jangkitan HIV, iaitu virus yang mengakibatkan penyakit AIDS. Penggunaan kondom getah dengan cara yang betul dan pada setiap sesi hubungan kelamin juga boleh mengurangkan risiko dijangkiti penyakit kelamin yang lain seperti gonorrhea, chlamydia, dan trichomoniasis.

Penyakit Kelamin seperti Herpes, Ketuat kelamin dan jangkitan virus human papillomavirus (HPV) boleh berlaku kepada kedua-dua lelaki dan wanita di kawasan kelamin yang dilindungi oleh kondom, juga di kawasan yang tidak dilindungi kondom. Menggunakan kondom getah dengan cara yang betul dan pada setiap sesi hubungan kelamin hanya boleh mengurangkan risiko jangkitan. Oleh kerana kondom getah mungkin tidak dapat melindungi sepenuhnya kawasan yang  dijangkiti walaupun digunakan dengan cara yang betul, ianya tidak menjamin bahawa jangkitan tidak akan berlaku.

Sekiranya wanita hamil mengesyaki dirinya telah dijangkiti penyakit kelamin, sila berjumpa doktor anda dengan segera sebelum komplikasi buruk berlaku.

Penyakit Chlamydia

October 11, 2007 1 comment

worry1.jpg

  • Apakah dia Penyakit Chlamydia?

Chlamydia merupakan sejenis penyakit kelamin yang paling biasa berlaku. Ia disebabkan oleh jangkitan bakteria Chlamydia Trachomatis, iaitu sejenis bakteria yang mampu merosakkan organ peranakan wanita. Walaupun simtom penyakit Chlamydia ini lazimnya sederhana dan tidak ketara bagi kebanyakan yang dijangkiti, penyakit ini berpotensi untuk memberi komplikasi serius terhadap kerosakan kekal pada organ peranakan wanita dan seterusnya boleh mengakibatkan kemandulan.

  • Adakah Chlamydia adalah penyakit yang biasa dijangkiti/terjadi?

Chlamydia adalah penyakit kelamin yang paling kerap sekali dilaporkan. Kebanyakan pesakit tidak mengetahui mereka telah dijangkiti dan tidak pernah melakukan apa-apa ujian untuk mengesan kehadiran Chlamydia ini. Ini kerana Chlamydia dikenali sebagai penyakit yang menyerang secara “senyap” (silent desease). Wanita yang telah mendapat rawatan Chlamydia selalunya akan dijangkiti semula penyakit ini sekiranya pasangan seks mereka tidak mendapatkan rawatan.

  • Bagaimana seseorang itu boleh dijangkiti?

Chlamydia boleh dipindahkan melalui hubungan hubungan seks menerusi faraj, dubur ataupun mulut. Ia juga boleh dipindahkan dari ibu kepada bayi semasa proses kelahiran. Chlamydia boleh menjangkiti sesiapa sahaja sama ada wanita atau lelaki yang aktif secara seksual. Semakin ramai pasangan seks seseorang itu, semakin tinggi risikonya untuk dijangkiti penyakit kelamin.

  • Apakah tanda-tanda dan simtom Chlamydia?

Chlamydia dikenali sebagai penyakit yang menyerang secara “senyap”. Ini kerana kira-kira 75% daripada wanita yang dijangkiti dan 50% daripada lelaki yang dijangkiti tidak menunjukkan apa-apa tanda atau simtom. Bagi mereka yang mengalami simtom pula, simtom Chlamydia akan mula kelihatan selepas kira-kira 1 hingga 3 minggu terdedah kepada bakteria tersebut.

Bagi wanita, bakteria akan menyerang pangkal rahim (cervix) dan saluran kencing (urethra). Wanita yang mempunyai simtom akan mengalami keputihan atau lendiran yang luar biasa atau merasa perit/sakit ketika kencing (seperti sakit akibat kencing tidak lawas).

women-depressed.jpg

Sesetengah wanita tidak menunjukkan apa-apa simtom walaupun bakteria telah merebak dari pangkal rahim ke tiub Fallopio (saluran yang membawa telur dari ovari (kilang telur) ke rahim untuk disenyawakan). Sesetengah wanita pula mengalami sakit perut dibahagian bawah, sakit belakang dibahagian bawah, mual, demam, sakit semasa melakukan hubungan kelamin, atau pendarahan di antara kitaran haid.

Bagi lelaki yang mempunyai tanda dijangkiti, simtom jangkitan penyakit ini termasuk keluar cecair/lendiran dari zakar, atau merasa sakit ketika kencing. Sesetengah lelaki akan merasa perit dan gatal di kawasan lubang kencing. Ada juga lelaki yang mengalami bengkak dan sakit di kawasan buah zakar.

Bagi lelaki atau wanita yang melakukan hubungan seks menerusi lubang dubur, jangkitan Chlamydia boleh berlaku di saluran najis (rektum), yang mengakibatkan kesakitan di saluran tersebut, pendarahan atau lendiran. Chlamydia turut menyerang kerongkong / saluran tekak wanita atau lelaki yang melakukan hubungan seks menerusi mulut (oral sex) kepada pasangan yang dijangkiti.

  • Apakah komplikasi yang diakibatkan oleh Chlamydia?

Tanpa rawatan jangkitan Chlamydia boleh mengakibatkan komplikasi serius kepada organ peranakan. Ianya juga turut menimbulkan masalah kesihatan yang lain sama ada dalam jangkamasa panjang atau pendek. Oleh kerana penyakit Chlamydia dikenali sebagai penyakit yang menyerang secara “senyap”, kerosakan dan komplikasi juga akan berlaku secara “senyap” dan kebiasaannya komplikasi hanya akan disedari apabila kerosakan teruk telah berlaku.

Bagi wanita, tanpa rawatan jangkitan akan tersebar ke dalam rahim (uterus) atau tiub fallopio dan mengakibatkan Radang Pelvis (pelvic inflammatory disease atau PID). PID boleh mengakibatkan kerosakan kekal pada tiub fallopio, rahim (uterus) dan tisu-tisu di sekelilingnya.

Bakteria boleh menyerang tiub fallopian tanpa disedari, menyebabkan tisu normal bertukar menjadi tisu parut.  Parut boleh mengganggu dan menghalang pergerakan telur ke dalam rahim. Jika tiub fallopian tersekat sepenuhnya oleh tisu parut, sperma tidak dapat berenang untuk mencari telur, dan persenyawaan tidak dapat berlaku, lantas mengakibatkan wanita tersebut menjadi tidak subur/mandul. Kemandulan juga boleh berlaku jika tiub fallopio separuh tersumbat atau walaupun sedikit rosak. Sehingga 10-15% wanita dengan PID boleh menjadi mandul, dan jika seseorang wanita mempunyai berbilang episod PID, risiko kemandulan adalah tinggi.

Kerosakan ini juga boleh membawa kepada rasa sakit yang teruk pada pelvis, mandul, dan kehamilan ektopik (hamil di luar rahim) yang boleh mengakibatkan kematian.

Komplikasi penyakit Chlamydia jarang berlaku pada lelaki. Walau bagaimanapun jangkitan Chlamydia pada lelaki boleh merebak ke epididymis (salur yang membawa keluar sperma dari testis), mengakibatkan rasa sakit, demam dan boleh mengakibatkan kemandulan.

Bagi wanita hamil, jangkitan Chlamydia boleh mengakibatkan kelahiran bayi pra-matang. Bayi yang lahir kepada ibu yang dijangkiti Chlamydia turut boleh dijangkiti penyakit ini pada mata dan sistem penafasan bayi tersebut. Chlamydia adalah antara faktor utama yang mengakibatkan radang paru-paru pada bayi dan conjunctivitis (sejenis penyakit mata) kepada bayi yang baru lahir.

  • Bagaimana Chlamydia dikesan?

Terdapat beberapa cara ujian makmal untuk mengesan jangkitan Chlamydia. Ujian air kencing atau ujian darah atau  pengambilan contoh daripada kawasan jangkitan seperti pangkal rahim atau zakar adalah cara untuk mengesan kehadiran bakteria penyakit ini. Sila berjumpa doktor anda untuk mendapatkan rawatan atau mengesan kehadiran Chlamydia. Peringatan: Ujian Papsmear sahaja atau ujian darah biasa tidak dapat mengesan kehadiran Chlamydia. Sila jelaskan kepada doktor anda bahawa anda ingin melakukan Ujian Chlamydia.

  • Adakah terdapat rawatan untuk Chlamydia?

Ya. Penyakit Chlamydia boleh diubati dan sembuh dengan cepat dan mudah, hanya dengan mengambil antibiotik dan menghentikan kegiatan seks sepanjang tempoh berubat. Kebiasaannya, ia dapat dirawat dalam masa kurang dari 2 minggu. Sila berjumpa doktor anda untuk mendapatkan rawatan ini.

Kesemua pasangan seks hendaklah diuji secara klinikal dan dirawat. Anda dan pasangan anda hendaklah menghentikan kegiatan seks sepanjang tempoh berubat sehingga kesemua pasangan telah dirawat dan selesai berubat, jika tidak risikonya adalah kesemua pasangan akan dijangkiti semula.

Wanita yang pasangannya tidak berubat atau tidak mendapat rawatan sempurna adalah sangat berisiko tinggi untuk dijangkiti semula. Jangkitan berulang kali terhadap wanita boleh menimbulkan komplikasi kesihatan pada organ peranakan yang serius termasuk mandul. Ujian semula untuk mengesan Chlamydia harus dilakukan oleh wanita selepas 3-4 bulan dari tarikh rawatan sebelumnya, terutama sekali jika wanita terbabit tidak pasti sama ada pasangan seksualnya telah mendapatkan rawatan sempurna atau tidak.

  • Bagaimana Chlamydia boleh dielak?

Seperti jangkitan Penyakit Kelamin yang lain, jangkitan Chlamydia tidak akan berlaku dengan tidak melakukan hubungan seksual, atau berada di dalam hubungan monogamous (hanya satu pasangan) dengan pasangan yang telah disahkan secara klinikal tidak dijangkiti penyakit ini.

Penggunakan kondom getah dengan cara yang betul dan pada setiap sesi hubungan kelamin boleh mengurangkan risiko jangkitan Chlamydia. Sekiranya anda pernah aktif atau sedang aktif secara seksual, anda digalakkan membuat ujian pengesanan Chlamydia ini sekurang-kurangnya setahun sekali. Semua wanita hamil sepatutnya melakukan ujian Chlamydia. Apa-apa perubahan terhadap organ kelamin anda seperti keputihan yang luar biasa, sakit ketika kencing, ruam atau lepuh, anda harus menghentikan kegiatan seks serta merta dan berjumpa doktor untuk mendapatkan kepastian tentang jangkitan atau perubahan yang berlaku.

Mereka yang dijangkiti Chlamydia serta pasangan seksnya hendaklah berhenti dari melakukan hubungan seksual sehingga tamat tempoh berubat. Jika tidak, penyakit ini akan terus berjangkit dan tidak dapat sembuh.