Home > Hepatitis B > Hepatitis B

Hepatitis B

October 6, 2007

depressed2.jpg

PENERANGAN

Hepatitis B adalah penyakit hati yang serius, disebabkan sejenis virus yang menyerang hati. Virus ini dikenali sebagai hepatitis B virus, boleh mengakibatkan jangkitan sepanjang hayat, kecacatan hati (cirrhosis – parut pada hati), barah hati, hati tidak dapat berfungsi, dan kematian. Setakat ini, tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit ini. Imunisasi / Vaksin Hepatitis B boleh didapati untuk semua peringkat umur bagi melindungi dan mencegah jangkitan virus Hepatitis B, bukan menyembuhkannya. Sesetengah pesakit terus membawa virus Hepatitis B di dalam badan mereka walaupun mereka telah pulih daripada jangkitan. Orang-orang seperti ini dipanggil Pembawa. Pembawa Hepatitis B mempunyai risiko tinggi menghidap penyakit-penyakit yang teruk seperti penyakit hati, kerosakan dan barah hati. Barah hati adalah di antara 10 jenis barah yang kerap berlaku di dunia, termasuk di negara kita.

TANDA-TANDA & SIMTOM-SIMTOM

Kira-kira 30% dari pesakit tidak mempunyai apa-apa tanda atau simtom. Kanak-kanak lebih sedikit menunjukkan tanda-tanda atau simtom penyakit ini berbanding orang dewasa.

  • sakit kuning (jaundice)
  • keletihan, kelesuan
  • sakit di bahagian perut
  • hilang selera makan
  • loya, pening, mual, muntah
  • sakit sendi

PENYEBAB:

Virus Hepatitis B

PEMINDAHAN VIRUS

Terjadi apabila darah pesakit Hepatitis B memasuki badan bukan pesakit.

  • Virus Hepatitis B disebarkan melalui hubungan kelamin dengan pesakit tanpa penggunaan kondom (walaupun begitu, tiada jaminan terhadap keberkesanan penggunaan kondom getah untuk mengelak dijangkiti Virus Hepatitis B, tetapi penggunaan yang betul, boleh mengurangkan risiko dijangkiti),
  • berkongsi jarum suntikan,
  • bayi yang dilahirkan kepada ibu yang merupakan pesakit atau pembawa Hepatitis B

Mereka yang berisiko dijangkiti virus Hepatitis B, juga mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti virus hepatitis C dan HIV.

KUMPULAN BERISIKO

  • Orang yang mempunyai ramai pasangan seks, atau pernah dijangkiti Penyakit Kelamin / STDs
  • Lelaki yang melakukan hubungan kelamin dengan lelaki (homoseksual & biseksual)
  • Melakukan hubungan kelamin dengan pengidap atau pembawa virus Hepatitis B
  • Berkongsi jarum suntikan
  • Berkongsi alat penjagaan diri seperti pisau cukur dan berus gigi
  • Bayi yang lahir kepada ibu yabg dijangkiti atau pembawa virus Hepatitis B, akan menjadikan bayi itu pembawa seumur hidup dan menghadapi risiko tinggi menghidap barah hati
  • Bayi/kanak-kanak pendatang dari negara yang mempunyai kadar tinggi jangkitan Hepatitis B
  • Pekerja bidang perubatan dan sukarelawan yang terdedah kepada darah atau penggunaan darah
  • Pesakit yang menggunakan mesin Hemodialysis (cth:pesakit buah pinggang)

PENCEGAHAN

  • Imunisasi / Vaksin Hepatitis B adalah cara perlindungan dan pencegahan terbaik
  • Sekiranya anda melakukan hubungan seks dengan lebih dari satu pasangan, gunakan kondom getah dengan betul dan pada setiap sesi. Harus diingat, tiada jaminan terhadap keberkesanan penggunaan kondom getah untuk mengelak dijangkiti Virus Hepatitis B, tetapi penggunaan yang betul, boleh mengurangkan risiko dijangkiti.
  • Sekiranya anda hamil, anda patut menjalankan pemeriksaan darah untukl mengesan jangkitan Hepatitis B. Bayi yang lahir kepada ibu yang dijangkiti atau pembawa harus diberi suntikan HBIG (hepatitis B immune globulin) dan vaksin dalam masa 12 jam selepas kelahiran.
  • Jangan melakukan suntikan jika anda mengambil dadah; berhenti dan dapatkan rawatan atau menyertai program pemulihan
  • Sekiranya anda perlu melakukan suntikan jarum sendiri (cth:pesakit kencing manis), jangan berkongsi jarum suntikan, sebaiknya dapatkan imunisasi Hepatitis A dan B
  • Jangan berkongsi barang penjagaan diri yang mempunyai risiko terkena darah (cth: pisau cukur, pemotong kuku, berus gigi)
  • Tattoo dan bertindik. Anda berisiko dijangkiti sekiranya tukang tattoo atau tindik tidak menjaga peralatan mereka dengan sempurna mengikut prosedur perubatan.
  • Sekiranya anda pesakit atau pernah dijangkiti virus Hepatitis B, jangan menderma darah, organ atau tisu badan anda.
  • Sekiranya anda pekerja bidang perubatan dan pekerja sukarela yang terdedah kepada darah / penggunaan darah, sila dapatkan imunisasi/vaksin Hepatitis B, serta patuhi prosedur dan rutin keselamatan serta prosedur pengendalian jarum atau objek tajam yang betul

IMUNISASI / VAKSIN

23463860.jpgSemenjak tahun 1989 Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyediakan perkhidmatan Imunisasi/Vaksin Hepatitis B untuk bayi yang baru lahir. Lindungilah bayi anda daripada Hepatitis B melalui Imunisasi. Oleh kerana bayi yang baru lahir mempunyai risiko untuk menjadi pembawa Hepatits B, mereka perlu diberikan imunisasi/vaksin Hepatitis B. Imunisasi ini adalah selamat dan tidak memberikan kesan-kesan sampingan.

  • Imunisasi Hepatitis B perlu diberikan melalui 3 dos seperti berikut:
  • Dos Umur :
    • Dos Pertama Pada Hari Kelahiran
    • Dos Kedua Apabila Berumur Satu Bulan
    • Dos Ketiga Apabila Berumur Lima Bulan

Tiga dos diperlukan untuk memastikan bahawa bayi anda menerima perlindungan lengkap terhadap Hepatitis B.

Bagaimana Imunisasi ini boleh didapati?

  • Perkhidmatan ini boleh didapati di semua hospital dan klinik kerajaan serta hampir semua hospital swasta
  • Jika anda bersalin di hospital bayi anda akan diberi suntikan dos pertama oleh jururawat di hospital
  • Jika jururawat desa atau bidan kerajaan menyambut kelahiran dirumah, beliau akan memberikan suntikan dos pertama sejurus selepas kelahiran
  • Sekiranya bidan kerajaan yang menyambut kelahiran di rumah tidak dapat memberikan suntikan dos pertama sejurus selepas dilahirkan atau jika kelahiran disambut oleh bidan kampung, anda dinasihat supaya meminta suami atau ahli keluarga yang lain membawa bayi tersebut ke pusat kesihatan yang berhampiran dengan secepat mungkin untuk suntikan dos pertama
  • Bagi suntikan dos kedua dan dos ketiga, anda dikehendaki membawa bayi anda ke hospital atau pusat kesihatan yang berhampiran pada masa yang ditetapkan

 3 Dos Imunisasi Hepatitis B Akan Melindungi Bayi Anda Sepenuhnya

KESAN JANGKA PANJANG TANPA IMUNISASI/VAKSIN

Jangkitan kronik boleh berlaku kepada:

  • 90% bayi ketika kelahiran
  • 30% kanak-kanak berumur 1–5 tahun
  • 6% selepas umur 5 tahun

Kematian akibat penyakit hati yang kronik berlaku kepada:

  • 15%–25% daripada pesakit yang jangkiti virus Hepatitis B kronik
  1. hen
    October 18, 2007 at 11:03 AM

    i love it….

  2. November 5, 2007 at 11:30 PM

    Terima Kasih atas informasi anda

    condom malaysia

  3. princess puyeen
    March 8, 2009 at 9:29 PM

    informations sharing was very useful…thanks

  4. princess puyeen
    March 8, 2009 at 9:35 PM

    informations sharing was very useful.. thnks

  1. No trackbacks yet.
Comments are closed.