Home > Herpes Kelamin/Simplex > Herpes Kelamin / Herpes Simpleks (HSV-Type I dan HSV-Type II)

Herpes Kelamin / Herpes Simpleks (HSV-Type I dan HSV-Type II)

October 5, 2007

depressed.jpg

  • Apakah dia Herpes Simpleks / Herpes Kelamin?

Herpes Simpleks adalah sejenis virus – terbahagi kepada dua jenis iaitu Herpes Simpleks Virus jenis 1 (HSV-1) dan Herpes Simpleks Virus jenis 2 (HSV-2).

Herpes Kelamin adalah penyakit yang berpunca dari serangan virus Herpes Simpleks. Kebanyakan Herpes kelamin disebabkan oleh HSV-2.

HSV-1 biasanya menyerang bahagian bibir, sekitar mulut dan mata tetapi ada juga yang menyerang kelamin. HSV-2 umumnya menyerang kawasan kelamin, dan disebarkan melalui hubungan seksual, ini yang disebut herpes kelamin.

Gejala penyakit ini akan menyebabkan timbulnya satu atau beberapa lepuh atau gelembung-gelembung kecil berisi air di kawasan yang dijangkiti. Apabila gelembung-gelembung kecil ini pecah, ia akan meninggalkan kesan melecet/melepuh. Lecetan tersebut akan mengering dan sembuh seperti biasa. Walaupun begitu, kebanyakan pesakit tidak mengalami sebarang sintom atau tanda-tanda yang jelas dijangkiti virus HSV-1 atau HSV-2.

Bagi serangan kali pertama (first outbreak), proses pemulihan akan mengambil masa 2 hingga 4 minggu untuk pulih. Kebiasaannya, lepuhan dan gelembung kecil berisi air ini akan menyerang semula selepas beberapa minggu atau beberapa bulan dari serangan pertama, namun, serangan selanjutnya selalunya kurang teruk dan mengambil masa yang lebih pendek untuk sembuh berbanding serangan sebelumnya.

Walaupun jangkitan virus HSV adalah kekal selamanya di dalam badan, semakin lama jumlah serangan akan semakin berkurangan selepas beberapa tahun.

  • Adakah Herpes Kelamin sejenis penyakit yang biasa dijangkiti/terjadi?

Kajian mendapati Herpes Kelamin adalah merupakan antara jangkitan penyakit kelamin yang paling banyak dilaporkan.

Jangkitan Herpes Kelamin HSV-2 adalah lebih biasa menjangkiti wanita (kira-kira 1 daripada 4 wanita) berbanding lelaki (1 daripada 5 lelaki). Ini mungkin diakibatkan oleh pemindahan virus ini adalah selalunya dari lelaki ke wanita.

  • Bagaimana seseorang itu boleh dijangkiti?

Virus HSV-1 dan HSV-2 boleh dikesan dan dilepaskan daripada lepuh atau gelembung kecil berisi air yang diakibatkan oleh virus tersebut. Ia tersebar melalui sentuhan. Walau bagaimana pun, virus ini tetap boleh disebarkan oleh pembawa HSV-1/HSV-2 walaupun pada ketika serangan lepuhan tidak berlaku/timbul pada mereka. Kebiasaannya, seseorang akan dijangkiti virus HSV-2 melalui aktiviti seksual iaitu melalui hubungan kelamin dengan penghidap Herpes Kelamin HSV-2.

Dengan kata lain, pemindahan virus boleh berlaku dari mereka yang dijangkiti HSV-2 yang mungkin tidak tahu menahu mereka telah dijangkiti kerana tidak ada apa-apa tanda mereka dijangkiti atau diserang Herpes Kelamin HSV-2.

HSV-1 juga boleh mengakibatkan Herpes Kelamin, tetapi ia selalunya mengakibatkan jangkitan pada mulut dan bibir, dan dikenali sebagai “demam lepuh”. Jangkitan Kelamin oleh virus HSV-1 boleh berlaku melalui hubungan “oral-kelamin” dan juga melalui hubungan “kelamin-kelamin” dengan mereka yang telah dijangkiti HSV-1.

Serangan Penyakit Kelamin HSV-1 kurang berlaku berbanding serangan Penyakit Kelamin HSV-2.

  • Apakah tanda-tanda dan simtom Herpes Kelamin?

Kebanyakan dari mereka yang dijangkiti virus HSV-2 tidak tahu bahawa mereka telah dijangkiti. Serangan pertama selalunya berlaku 2 minggu selepas virus dipindahkan, dan lepuh-lepuh atau gelembung-gelembung kecil berisi air itu akan sembuh di antara 2 hingga 4 minggu.

Tanda-tanda dan simtom-simtom lain pada peringkat pertama jangkitan antaranya seperti; diserang demam, dan kelenjar membengkak. Walau bagaimana pun, kebanyakkan individu yang dijangkiti virus HSV-2 mungkin tidak pernah diserang lepuh atau gelembung kecil berisi air, atau serangan yang terlalu sedikit dan tidak jelas dan mereka mungkin menganggap ianya hanyalah gigitan nyamuk atau serangga atau sakit kulit biasa yang mengakibatkan tanda bintik merah kecil.

Kebanyakkan dari mereka yang dikesan menghadapi serangan Herpes Kelamin untuk pertama kali, akan diserang semula sebanyak 4 ke 5 kali dalam setahun. Serangan ini akan menjadi semakin berkurangan selepas beberapa ketika.

  • Apakah komplikasi yang diakibatkan oleh Herpes Kelamin?

Herpes Kelamin mengakibatkan rasa tidak selesa dan sakit/pedih di kawasan kelamin disebabkan luka-luka kecil dan lecet (akibat lepuh dan gelembung kecil berisi air itu pecah), dan boleh menyerang berulang kali di bahagian alat sulit. Jangkitan herpes boleh menjadi lebih teruk bagi mereka yang mempunyai sistem imunisasi badan atau daya tahan sakit yang lemah.

Tidak kira apa pun tahap keseriusan simtom, Herpes Kelamin sering mengundang tekanan psikologi kepada mereka yang tahu mereka telah dijangkiti.

Tambahan lagi, bagi wanita hamil yang mengidap Herpes Kelamin, kemungkinan untuk menjangkiti janin sangat tinggi dan mendedahkan bayi dengan meningitis malah kerosakan otak. Sekiranya wanita hamil ini dijangkiti Herpes Kelamin pada masa awal kehamilan (sebelum 4 bulan), ianya berpotensi untuk mengakibatkan jangkitan teruk yang boleh mengakibatkan kecacatan kekal pada bayi atau membawa kepada kematian bayi / keguguran.

Sungguh pun begitu, jangkitan kepada bayi adalah jarang terjadi tetapi risiko untuk terjadi tetap ada dan adalah sangat mustahak bagi wanita hamil yang dijangkiti Herpes Kelamin dan juga pasangannya berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat dan rawatan dengan segera bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

  • Bagaimana Herpes Kelamin dikesan?

Tanda-tanda dan simtom-simtom berkaitan HSV-2 boleh dikesan dengan beberapa cara. Doktor anda selalunya dapat mengesan Herpes Kelamin dengan hanya melihat kawasan yang dijangkiti apabila berlaku serangan atau jangkitan, atau dengan mengambil contoh sel dari lepuh atau juga mengambil contoh darah anda untuk diuji di makmal. Jangkitan HSV agak sukar dikesan bila tidak berlaku serangan (outbreak). Pengambilan contoh darah boleh membantu, walaupun keputusannya kadangkala tidak begitu jelas.

  • Adakah terdapat rawatan untuk herpes?

Tiada rawatan khas untuk menyembuhkan herpes, tetapi ubat antiviral boleh memendekkan tempoh dan menghalang serangan herpes berlaku. Jagalah kesihatan kelamin dan sistem reproduksi anda, hindari stress, lakukan olah raga teratur, dapatkan rehat fizikal dan mental yang cukup dan amalkan pemakanan yang seimbang dan berkualiti kerana ianya dapat meningkatkan daya tahan tubuh.

Lecithin, AMNE dan royal jelly merupakan makanan tambahan yang mengandungi nutrisi seimbang dan berkualiti yang diperlukan oleh tubuh. Pemakanan secara teratur akan menjaga daya tahan dan stamina tubuh sehingga mampu mencegah virus agar tidak aktif.

  • Bagaimana Herpes boleh dielak?

Cara yang paling pasti untuk mengelakkan pemindahan dan jangkitan Penyakit Kelamin, termasuk Herpes Kelamin adalah dengan tidak melakukan hubungan seksual, atau berada di dalam hubungan monogamous (hanya satu pasangan) dengan pasangan yang telah disahkan secara klinikal tidak dijangkiti virus HSV.

Penyakit Herpes Kelamin boleh berlaku kepada kedua-dua lelaki dan wanita di kawasan kelamin yang dilindungi oleh kondom, juga di kawasan yang tidak dilindungi kondom. Menggunakan kondom getah dengan cara yang betul dan pada setiap sesi hubungan kelamin hanya boleh mengurangkan risiko jangkitan. Oleh kerana kondom getah mungkin tidak dapat melindungi sepenuhnya kawasan yang dijangkiti walaupun digunakan dengan cara yang betul, ianya tidak menjamin bahawa jangkitan tidak akan berlaku.

Oleh yang demikian, seseorang yang dijangkiti herpes kelamin harus mengelakkan dari melakukan hubungan kelamin sekiranya simtom-simtom serangan lepuh dan gelembung kecil berisi air ini sedang berlaku. Walaupun begitu, adalah diingatkan bahawa pengidap herpes kelamin masih boleh memindahkan virus tersebut kepada pasangannya walaupun pada ketika pesakit tidak menunjukkan apa-apa simtom.

Pengidap Herpes Kelamin harus bertanggungjawab untuk memberitahu semua pasangan seksnya bahawa mereka mungkin telah dijangkiti virus HSV dan harus mendapatkan nasihat serta rawatan doktor.