Kemandulan dan Penyakit Kelamin

April 13, 2012 Leave a comment

Image

Chlamydia dan Gonorrhoea adalah punca utama kemandulan yang diakibatkan oleh penyakit kelamin. Tanpa rawatan, kira-kira 15% wanita dengan chlamydia akan mendapat penyakit radang pelvik (PID). Chlamydia boleh menyebabkan jangkitan pada tiub fallopio tanpa memberi apa-apa gejala kepada wanita yang dijangkitinya. PID dan jangkitan “senyap” ini boleh menyebabkan kerosakan kekal pada tiub fallopio, rahim, dan tisu di sekitarnya, dan seterusnya boleh membawa kepada kemandulan.

75% daripada wanita dan 50% daripada lelaki yang dijangkiti Chlamydia tidak menunjukkan apa-apa tanda atau gejala. Semua wanita yang aktif melakukan hubungan seks, wanita yang mempunyai pasangan baru atau berbilang pasangan adalah disarankan untuk melakukan ujian Chlamydia.

Lelaki yang aktif melakukan hubungan seksual dan kerap bertukar pasangan juga haruslah bertanggungjawab dan melakukan ujian Chlamydia. Komplikasi penyakit Chlamydia jarang berlaku pada lelaki. Walau bagaimanapun jangkitan Chlamydia pada lelaki boleh merebak ke epididymis (salur yang membawa keluar sperma dari testis), mengakibatkan rasa sakit, demam dan boleh mengakibatkan mandul. Lelaki yang dijangkiti Chlamydia juga boleh dengan mudah memindahkan jangkitan tersebut kepada pasangannya menerusi hubungan seksual dan seterusnya meletakkan pasangannya berisiko untuk mandul.

Kemandulan akibat jangkitan penyakit kelamin Chlamydia dan Gonorrhea boleh dielakkan sekiranya ianya dikesan awal dan dirawat dengan segera. Ingatlah bahawa sekiranya kerosakan telah berlaku, tiada antibiotik atau ubat yang dapat merawat kerosakan tersebut. Sayangi masa depan anda, lakukan ujian Chlamydia sebelum terlambat!

Radang Pelvis / PID (Pelvic Inflammatory Disease)

April 8, 2012 Leave a comment
  • Apakah dia Radang Pelvis / Pelvic Inflammatory Disease (PID)?

Radang Pelvis atau Pelvic inflammatory disease (PID) adalah penyakit yang merujuk kepada jangkitan kuman pada rahim (uterus), tiub fallopio (saluran yang membawa telur dari kilang telur ke uterus untuk disenyawakan) dan lain-lain organ peranakan wanita.

Radang pelvis mengakibatkan komplikasi serius terhadap organ peranakan yang kebiasaannya diakibatkan oleh jangkitan penyakit kelamin, terutamanya Chlamydia and Gonorrhea. Radang pelvis boleh mengakibatkan kerosakan kekal pada tiub fallopio, rahim (uterus) dan tisu-tisu di dalam dan di luar rahim dan kilang telur (ovari).

Radang pelvis yang tidak dirawat akan menyebabkan komplikasi buruk terhadap organ peranakan seperti mandul, kehamilan ektopik iaitu kehamilan di luar rahim, dan rasa sakit yang teruk pada pelvis (tulang pinggul) akibat jangkitan teruk pada organ peranakan.

  • Adakah Radang Pelvis (PID) sesuatu yang biasa terjadi/dijangkiti?

Seks rambang dan bertukar pasangan seksual adalah faktor utama yang menyumbang kepada tejadinya radang pelvis. Dengan meningkatnya kadar penyakit kelamin yang disebabkan oleh seks rambang dan bertukar pasangan, kadar jangkitan pelvis juga turut meningkat. Semakin ramai wanita mandul akibat serangan radang pelvis dan  kadar kandungan luar rahim juga turut meningkat. Ini mengakibatkan meningkatnya jumlah kematian akibat penyakit atau kesan penyakit radang pelvis pada wanita.

  • Bagaimana wanita boleh dijangkiti Radang Pelvis (PID)?

Radang pelvis terjadi apabila terdapat jangkitan bakteria pada faraj memasuki pangkal rahim, seterusnya merebak ke organ peranakan wanita. Terdapat berbagai organisma dan bakteria yang boleh mengakibatkan radang pelvis tetapi penyubang utama radang pelvis adalah penyakit kelamin Gonorrhea dan Chlamydia, iaitu 2 jenis penyakit kelamin yang lazim menjangkiti rakyat Malaysia.

Wanita yang aktif secara seksual dan selalu bertukar pasangan seks atau wanita yang mempunyai pasangan yang kerap bertukar pasangan seks adalah sangat berisiko untuk dijangkiti radang pelvis.

Wanita yang melakukan “douche” (memancit ubat/air ke dalam faraj untuk tujuan kebersihan) turut mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat radang pelvis berbanding dengan wanita yang tidak melakukan “douche”. Ini kerana “douche” akan turut membunuh “bakteria baik” yang hidup di dalam faraj wanita dan ianya juga boleh menolak bakteria jahat atau kuman masuk lebih jauh ke dalam organ peranakan wanita.

Wanita yang memakai alat di dalam rahim (IUD) sebagai cara merancang keluarga juga mempunyai risiko yang lebih tinggi dijangkiti radang pelvis apabila dia ataupun suaminya mempunyai pasangan seks yang ramai jika dibandingkan dengan hubungan monogami (satu pasangan). Walau bagaimanapun, risiko ini dapat dikurangkan jika seseorang wanita itu diuji terlebih dahulu dan jika perlu, dirawat bagi STD sebelum memakai IUD.

  • Apakah tanda-tanda dan gejala Radang Pelvis (PID)?

Gejala PID mungkin berbeza dan bergantung kepada jenis bakteria dan tahap keseriusan jangkitan. Apabila PID disebabkan oleh jangkitan chlamydia, seorang wanita mungkin lebih cenderung untuk hanya mengalami gejala ringan walaupun apabila kerosakan serius sedang berlaku kepada organ-organ pembiakan. Chlamydia juga boleh menyebabkan jangkitan tiub fallopio tanpa sebarang gejala. Oleh kerana gejala-gejala yang tidak jelas, PID lazimnya tidak disedari atau disyaki oleh wanita tersebut dan doktor mereka. Bagi wanita yang mempunyai tanda-tanda PID pula, lazimnya mengalami kesakitan di bahagian bawah abdomen. Tanda-tanda dan gejala lain termasuk demam, lelehan faraj yang tidak normal dan mungkin disertai dengan bau busuk, persetubuhan yang menyakitkan, sakit semasa kencing, pendarahan haid yang tidak teratur, dan sakit di bahagian kanan atas abdomen (jarang berlaku).

  • Apakah kesan dan komplikasi Radang Pelvis (PID)?

Rawatan segera dan sewajarnya boleh membantu mencegah komplikasi PID, termasuk kerosakan kekal pada organ pembiakan wanita. Bakteria penyebab jangkitan boleh menyerang tiub fallopio tanpa disedari, menyebabkan tisu normal bertukar menjadi tisu parut. Parut boleh mengganggu dan menghalang pergerakan telur ke dalam rahim. Jika tiub fallopio tersekat sepenuhnya oleh tisu parut, sperma tidak dapat berenang untuk mencari telur, dan persenyawaan tidak dapat berlaku, lantas mengakibatkan wanita tersebut menjadi tidak subur/mandul. Kemandulan juga boleh berlaku jika tiub fallopio separuh tersumbat atau walaupun sedikit rosak. Sehingga 10-15% wanita dengan PID boleh menjadi mandul, dan jika seseorang wanita mempunyai berbilang episod PID, risiko kemandulan adalah tinggi.

Di samping itu, tiub fallopio separuh tersumbat atau sedikit rosak boleh menyebabkan telur yang disenyawakan gagal memasuki rahim, lantas kekal di dalam tiub fallopio. Jika telur yang disenyawakan mula berkembang di dalam tiub fallopio seolah-olah ia berada di dalam rahim, ianya dipanggil kehamilan ektopik. Kehamilan ektopik boleh menyebabkan tiub fallopio pecah dan mengakibatkan kesakitan yang teruk, pendarahan dalaman, dan juga kematian.Parut di tiub fallopio dan lain-lain struktur pelvis juga boleh menyebabkan sakit pelvis yang kronik (sakit yang berlangsung selama berbulan-bulan ataupun bertahun-tahun). Wanita dengan episod PID yang berulang-ulang adalah lebih berkemungkinan untuk mengalami ketidaksuburan, kemandulan, kehamilan ektopik, dan sakit pelvis kronik.

  • Bagaimana Radang Pelvis (PID) dikesan?

PID adalah sukar untuk dikesan kerana gejala-gejalanya yang ringan dan tidak jelas, maka seringkali mengakibatkan wanita yang dijangkiti tidak mengendahkan gejala ringan tersebut. Oleh kerana tidak ada ujian yang tepat untuk PID, diagnosis biasanya dibuat berdasarkan penemuan klinikal. Jika gejala-gejala seperti sakit perut di bahagian bawah abdomen terjadi, doktor anda perlu melakukan pemeriksaan fizikal untuk menentukan jenis dan lokasi kesakitan,  memeriksa sekiranya ada demam, lelehan faraj/serviks yang tidak normal, dan memeriksa sekiranya terdapat bukti jangkitan gonorrhea atau chlamydia. Jika keputusan pemeriksaan mencadangkan terdapatnya PID, rawatan adalah diperlukan.

Doktor anda juga mungkin meminta anda menjalani ujian untuk mengenal pasti organisma yang menyebabkan jangkitan (contohnya, jangkitan chlamydia atau gonorrhea) atau untuk membezakan antara PID dan masalah-masalah lain yang mempunyai gejala yang sama. Ultrasound pelvik adalah satu prosedur yang berguna untuk mengesan PID. Ultrasound membolehkan pakar perubatan melihat bahagian dalam pelvis untuk memastikan sama ada tiub fallopio membesar/bengkak atau sama ada lendiran/nanah hadir. Dalam kes-kes tertentu, laparoskopi mungkin perlu untuk mengesahkan diagnosis. Laparoskopi adalah satu prosedur pembedahan di mana tiub nipis dan kamera (laparoskop) dimasukkan ke dalam abdomen melalui hirisan/torehan kecil di perut. Prosedur ini membolehkan doktor melihat organ dalaman pelvis dan mengambil spesimen untuk kajian makmal, jika perlu.

  • Apakah rawatan untuk Radang Pelvis (PID)?

PID boleh dirawat dengan beberapa jenis antibiotik. Doktor anda akan menentukan dan menetapkan rawatan yang terbaik. Walau bagaimanapun, rawatan antibiotik tidak dapat merawat kerosakan yang telah berlaku kepada organ-organ pembiakan. Jika seorang wanita mempunyai sakit pelvis dan gejala PID yang lain, adalah penting bahawa dia mendapatkan rawatan segera. Rawatan antibiotik yang cepat dapat mengelakkan kerosakan teruk kepada organ-organ pembiakan. Semakin lama seseorang wanita menangguhkan rawatan PID, semakin besar kemungkinan untuk menjadi mandul atau mempunyai kehamilan ektopik pada masa depan akibat kerosakan pada tiub fallopio.

Kerana kesukaran dalam mengenal pasti organisma yang menjangkiti organ-organ pembiakan dalaman dan akibat lebih daripada satu organisma yang mungkin bertanggungjawab bagi sesebuah episod PID, PID biasanya dirawat dengan sekurang-kurangnya dua antibiotik yang berkesan terhadap pelbagai jangkitan. Antibiotik ini boleh diberi melalui mulut atau melalui suntikan. Gejala-gejala PID mungkin hilang sebelum jangkitan itu sembuh. Walaupun gejala telah hilang, wanita tersebut harus menghabiskan kesemua ubat yang ditetapkan. Ini akan membantu mencegah jangkitan daripada kembali. Wanita yang dirawat untuk PID harus diperiksa semula oleh doktor mereka tiga hari selepas memulakan rawatan untuk memastikan antibiotik berkesan bagi menyembuhkan jangkitan. Di samping itu, pasangan seks wanita tersebut perlu dirawat untuk mengurangkan risiko jangkitan semula, walaupun pasangan mereka tidak mempunyai apa-apa gejala. Ini kerana, walaupun pasangan mereka tidak mempunyai gejala, mereka masih boleh dijangkiti dengan organisma yang boleh menyebabkan PID.

Seseorang wanita mungkin disyorkan untuk ditahan di hospital untuk merawat PID sekiranya

  1. sakit yang teruk (contohnya, loya, muntah, dan demam tinggi)
  2. mengandung
  3. tidak bertindak balas kepada atau tidak boleh mengambil ubat oral dan memerlukan antibiotik intravena
  4. mempunyai nanah dalam tiub fallopio atau ovari (tubo-ovari bernanah)
  5. perlu dipantau untuk memastikan gejala tidak disebabkan keadaan lain yang memerlukan pembedahan kecemasan (contoh: apendiks)

Jika gejala-gejala terus berlaku atau jika nanah berulang, pembedahan mungkin diperlukan. Komplikasi PID seperti sakit pelvis kronik dan parut sukar untuk dirawat, tetapi kadang-kala boleh bertambah baik dengan pembedahan.

  • Bagaimana Radang Pelvis (PID) boleh dicegah?

Wanita boleh melindungi diri mereka daripada PID dengan mengambil tindakan untuk mengelakkan jangkitan STD (penyakit kelamin) atau dengan mendapatkan rawatan awal jika mereka dijangkiti STD.

Cara terbaik untuk mengelakkan jangkitan STD adalah untuk menahan diri dari melakukan hubungan seks, atau berada dalam hubungan jangka panjang yang mana pasangan adalah saling monogami, dengan pasangan yang telah diuji dan disahkan secara klinikal sebagai tidak dijangkiti. Penggunaan kondom  secara konsisten dan betul, boleh mengurangkan risiko jangkitan chlamydia dan gonorrhoea seterusnya mengurangkan risiko Radang Pelvis (PID).

Penyebaran STD (penyakit kelamin) tidak boleh dielakkan dengan membasuh kemaluan, membuang air kecil, atau douching selepas seks. Apa-apa gejala genital seperti keputihan, lendiran yang luar biasa, rasa pedih (atau terbakar) yang tidak normal, keputihan dengan bau, rasa sakit semasa membuang air kecil, atau pendarahan antara kitaran haid mungkin bermakna berlakunya jangkitan STD . Jika seseorang wanita mengalami mana-mana dari gejala-gejala tersebut, dia perlu berhenti melakukan hubungan seks dan mendapatkan nasihat dari doktor mereka dengan segera.

Merawat STD dengan segera atau pada tahap awal boleh mencegah PID. Wanita yang disahkan dijangkiti STD perlu dirawat dan bertanggungjawab untuk memberitahu semua pasangan seks mereka untuk diperiksa bagi memastikan sama ada pasangan mereka telah dijangkiti dan mendapatkan rawatan jika perlu. Aktiviti seksual tidak boleh dilakukan sehingga semua pasangan seks telah diperiksa dan, jika perlu, dirawat.

Sifilis (Syphilis)

March 31, 2012 Leave a comment
  • Apakah dia sifilis?

Sifilis adalah penyakit kelamin (STD) yang berjangkit, disebar melalui hubungan seks sama ada melalui vagina, dubur atau oral. Ia juga boleh disebar dari seorang ibu kepada bayinya semasa kehamilan. Sifilis disebabkan oleh bakteria Treponema pallidum. Sifilis merupakan penyakit kelamin yang berbahaya dan boleh mengancam nyawa.

  • Bagaimana seseorang itu dijangkiti?

Sifilis disebarkan melalui hubungan langsung dengan pesakit sifilis. Ulser/kudis sifilis berlaku terutamanya pada kawasan alat kelamin, faraj, dubur, atau di dalam rektum. Ulser juga boleh berlaku pada bibir dan di dalam mulut dan penyebaran berlaku semasa melakukan hubungan seks vagina, dubur atau oral .

Wanita hamil yang dijangkiti penyakit ini boleh menyebarkan kuman sifilis kepada bayi yang dikandungnya.

Sifilis tidak boleh merebak melalui tempat duduk tandas, tombol pintu, kolam renang, tab mandi, pakaian dikongsi, atau perkakas makan.

  • Apakah tanda-tanda dan gejala di kalangan orang dewasa?

Sifilis berlaku secara berperingkat-peringkat, dan gejala adalah berbeza pada setiap peringkat. Peringkat-peringkat tersebut mungkin terjadi secara bertindih, dan gejala tidak semestinya berlaku mengikut susunan peringkat. Anda juga mungkin dijangkiti dengan kuman sifilis dan tidak melihat apa-apa gejala selama bertahun-tahun.

Peringkat 1: Peringkat rendah (Primary)

Satu atau lebih ulser/kudis akan kelihatan di zakar, labia (bibir faraj), dubur dan kadang-kadang pada mulut dan bibir. Ulser ini dipanggil ‘chancre’ (klik untuk imej chancre – amaran: visual sensitif) dan akan hilang selepas beberapa minggu.

Permulaan gejala peringkat pertama terjadi sekitar 10 hingga 90 hari (purata 21 hari) setelah dijangkiti kuman sifilis. Chancre biasanya bulat, keras, kecil, dan tidak menyakitkan. Ia muncul di tempat di mana sifilis memasuki badan. Chancre bertahan selama 3 hingga 6 minggu, dan akan sembuh tanpa rawatan. Walau bagaimanapun, jika rawatan tidak diberikan, jangkitan akan beralih ke peringkat 2 (secondary).

Peringkat 2: Peringkat sekunder (Secondary)

Peringkat ini biasanya bermula dengan timbulnya ruam pada satu atau lebih bahagian badan. Ruam ini biasanya tidak akan menyebabkan kegatalan dan akan keluar ketika chancre /ulser sifilis sedang sembuh atau beberapa minggu selepas chancre telah sembuh. Ciri ruam sifilis peringkat 2 adalah kelihatan kasar, merah, atau tompok-tompok coklat kemerahan di kedua-dua tapak tangan dan bahagian tapak kaki. Walau bagaimanapun, ruam mungkin tampil berbeza – nipis, tidak jelas dan berlaku pada bahagian badan yang lain, menyerupai ruam biasa sehingga ianya tidak disedari sebagai ruam sifilis.

Selain ruam, antara gejala sifilis peringkat 2 yang lain termasuk:

• demam

•bengkak kelenjar limfa

•sakit tekak

•keguguran rambut

•sakit kepala

•hilang berat badan

•sakit otot dan keletihan

Pada peringkat ini, sifilis adalah sangat mudah berjangkit dan boleh menjangkiti pasangan dengan mudah melalui hubungan seks.

Rawatan boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang peringkat 1 dan 2 dan ianya boleh sembuh. Tanpa rawatan, tanda-tanda dan gejala sifilis peringkat 2 mungkin hilang selepas beberapa minggu. Nanum jika rawatan tidak diberikan, jangkitan akan kembali dan beralih ke peringkat 3.

Peringkat 3: Peringkat pendam/sembunyi

Sifilis peringkat 3 adalah terpendam (tersembunyi) dan peringkat ini bermula apabila gejala peringkat 1 dan 2 telah hilang. Tanpa rawatan, pesakit sifilis akan terus mempunyai sifilis walaupun tiada tanda-tanda atau gejala; jangkitan adalah kekal di dalam badan. Peringkat pendam ini boleh bertahan selama bertahun-tahun, kadangkala sehingga 20 tahun sebelum beralih ke peringkat 4 iaitu peringkat lewat/akhir.

Peringkat 4: Peringkat lewat / akhir

Sifilis Peringkat 4 terjadi pada kira-kira 15% daripada mereka yang pernah dijangkiti sifilis yang tidak mendapatkan rawatan. Peringkat ini boleh muncul 10-20 tahun selepas jangkitan pertama diperolehi.

Di peringkat akhir sifilis, penyakit ini kemudiannya merosakkan organ-organ dalaman, termasuk otak, saraf, mata, jantung, saluran darah, hati, tulang dan sendi. Tanda dan gejala peringkat lewat/akhir sifilis termasuk kesukaran menyelaras pergerakan otot, lumpuh, kebas, kabur penglihatan dan buta, dan juga demensia (nyanyuk/hilang akal). Kerosakan ini boleh menjadi cukup serius sehingga menyebabkan kematian.

Bakteria sifilis boleh menjangkiti bayi ketika di dalam kandungan. Bergantung kepada tempoh berapa lama wanita hamil tersebut telah dijangkiti kuman sifilis, dia mungkin berisiko tinggi untuk mengalami stillbirth (bayi yang lahir mati dalam kandungan) atau melahirkan bayi yang meninggal dunia sejurus selepas kelahiran. Bayi yang dijangkiti kuman sifilis mungkin juga dilahirkan tanpa ada apa-apa tanda atau gejala penyakit. Walau bagaimanapun, jika tidak dirawat dengan segera, bayi tersebut mungkin akan mengalami masalah serius dalam masa beberapa minggu. Bayi yang tidak dirawat mungkin lambat berkembang (perkembangan yang perlahan), sawan, atau mati.

  • Bagaimana sifilis dikesan?

Sesetengah doktor/pakar perubatan boleh mengesahkan dan mengesan sifilis dengan memeriksa spesimen yang diambil dari chancre (ulser/lepuh/kudis sifilis) menggunakan mikroskop khas yang dipanggil mikroskop medan-gelap. Jika bakteria sifilis hadir dalam spesimen, ianya dapat dilihat melalui mikroskop tersebut.

Ujian darah juga boleh menentukan sama ada seseorang mempunyai sifilis. Sejurus selepas jangkitan berlaku, badan akan menghasilkan antibodi sifilis yang boleh dikesan oleh ujian darah. Ujian darah adalah tepat, selamat dan murah. Selepas penyakit telah berjaya dirawat, tahap rendah antibodi sifilis mungkin akan kekal di dalam darah untuk beberapa bulan atau tahun. Oleh kerana sifilis yang tidak dirawat pada wanita hamil boleh menjangkiti dan mungkin membunuh bayi yang dikandung, setiap wanita hamil perlu menjalani ujian darah untuk sifilis.

  • Apakah hubungan antara sifilis dan HIV?

Ulser/kudis di kemaluan (chancres) disebabkan oleh sifilis, memudahkan pemindahan kuman HIV secara seksual. Apabila seseorang itu mempunyai sifilis, risiko untuk mendapat jangkitan HIV akan meningkat sehingga 5 kali ganda jika dia terdedah kepada virus itu. Ini kerana, ulser yang disebabkan oleh STD seperti sifilis, menyebabkan kudis, luka, atau rekahan pada kulit, di mana luka ini boleh berdarah dengan mudah. Dan apabila bersentuhan dengan mukosa mulut, lendiran faraj dan dubur ketika melakukan hubungan seks, ini akan meningkatkan risiko untuk dijangkiti HIV, jika terdedah kepada virus itu.

  • Apakah rawatan untuk siflis?

Sifilis mudah dirawat dan disembuhkan jika ia dikesan di peringkat awal. Satu suntikan penisilin dan antibiotik, akan menyembuhkan seseorang yang dijangkiti kuman sifilis kurang daripada setahun. Dos tambahan diperlukan untuk merawat penghidap sifilis yang dijangkiti lebih daripada satu tahun. Tiada petua, rawatan traditional atau ubat di farmasi (over-the-counter) yang boleh menyembuhkan sifilis. Rawatan yang diberikan oleh doktor anda akan membunuh bakteria sifilis dan mencegah kerosakan yang lebih teruk, tetapi ia tidak akan dapat membaiki kerosakan yang telah dilakukan (sekiranya ada).

Oleh kerana rawatan yang berkesan mudah didapati, mereka yang aktif secara seksual dan terdedah kepada risiko dijankiti STD (mengamalkan seks bebas dan bertukar pasangan) digalakkan untuk menjalani pemeriksaan mengesan Sifilis dan penyakit STD yang lainnya, sebelum terlambat. Anda perlu menyatakan dengan jelas kepada doktor anda untuk melakukan pemeriksaan Sifilis / STD.

Mereka yang sedang menerima rawatan sifilis mesti menahan diri daripada melakukan hubungan seks dengan pasangannya sehingga kudis sifilis telah sembuh sepenuhnya. Pesakit juga perlu bertanggungjawab untuk memberitahu pasangan seks mereka supaya mereka juga boleh diuji dan menerima rawatan jika perlu.

  • Apakah Sifilis akan berulang?

Jika seseorang itu pernah menghidap sifilis dan telah sembuh, ianya tidak melindungi seseorang itu daripada dijangkiti semula. Hanya ujian makmal boleh mengesahkan sama ada seseorang itu memhidapi sifilis. Oleh kerana ulser/kudis sifilis boleh tersembunyi di dalam faraj, dubur atau mulut, ianya mungkin tidak jelas bahawa pasangan seks menghidapi sifilis. Sila berjumpa doktor anda untuk memastikan adakah anda perlu diuji semula bagi mengesan sifilis selepas menerima rawatan.

  • Bagaimana sifilis boleh dicegah?

Cara terbaik untuk mengelakkan penyebaran penyakit kelamin, termasuk sifilis, adalah menahan diri dari hubungan seksual atau berada dalam hubungan yang saling monogami dengan pasangan yang telah diuji dan disahkan tidak dijangkiti.

Mengelakkan penggunaan alkohol dan dadah juga boleh membantu mencegah penyebaran sifilis kerana aktiviti-aktiviti ini boleh membawa kepada kelakuan seksual yang berisiko. Adalah penting bagi setiap pasangan seks untuk bercakap/memaklumkan antara satu sama lain mengenai status kesihatan seksual mereka dan sejarah STD lain supaya tindakan pencegahan dapat diambil.

Penyakit ulser alat kelamin seperti sifilis, boleh berlaku di kedua-dua kawasan kemaluan lelaki dan perempuan yang dilindungi oleh kondom, serta di kawasan yang tidak dilindungi. Penggunaan kondom yang betul dan konsisten hanya boleh mengurangkan risiko sifilis, serta herpes kemaluan apabila kawasan yang dijangkiti itu dilindungi, dan bukan langkah pencegahan 100%. Kondom yang dilincirkan dengan spermisid juga tidak akan membantu dalam mengelakkan penyebaran dan bukan pencegahan untuk STD atau HIV.

Penyebaran STD termasuk sifilis tidak boleh dielakkan dengan membasuh kemaluan, membuang air kecil, atau douching selepas seks. Sekiranya terdapat lelehan/lendiran /keputihan luarbiasa, sakit, atau ruam, khususnya di kawasan pangkal paha, anda harus berhenti dari melakukan hubungan seks dan berjumpalah doktor dengan segera.

Vaginosis Bakteria (Bacterial Vaginosis) BV

March 29, 2012 Leave a comment
  • Apakah Vaginosis Bakteria / Bacterial Vaginosis (BV)?

Vaginosis bakteria (BV) adalah keadaan di mana jumlah  bakteria normal di dalam faraj terganggu dan digantikan oleh peningkatan bakteria tertentu. Ia kadang-kadang disertai oleh lendiran/keputihan, bau yang tidak menyenangkan, sakit, gatal atau rasa pedih.

  • Adakah Vaginosis Bakteria (BV) merupakan penyakit yang biasa menjangkiti wanita?

BV adalah jangkitan faraj yang paling biasa di kalangan wanita. BV juga selalu di kalangan wanita hamil.

  • Bagaimana seseorang itu dijangkiti?

Punca BV masih tidak difahami sepenuhnya. BV dikaitkan dengan ketidakseimbangan jumlah bakteria yang biasanya terdapat dalam faraj wanita. Faraj biasanya mengandungi kebanyakannya bakteria “baik”, dan kurang bakteria “berbahaya”. BV terjadi apabila terdapat peningkatan jumlah bakteria berbahaya.

Tidak banyak yang diketahui tentang bagaimana seseorang wanita mendapat BV. Mana-mana wanita boleh dijangkiti. Terdapat banyak persoalan yang belum terjawab mengenai peranan yang dimainkan oleh bakteria berbahaya yang menyebabkan BV. Walau bagaimanapun, beberapa aktiviti atau amalan boleh mengakibatkan keseimbangan bakteria normal dalam vagina terganggu dan meningkatkan risiko untuk dijangkiti, antaranya:

    • Mempunyai pasangan seks baru atau berbilang pasangan seks
    • Douching (menyembur air/sabun ke dalam faraj mungkin untuk tujuan kebersihan dsb)

Adalah tidak dapat dijelaskah apakah peranan yang dimainkan oleh aktiviti seksual dalam pembentukan BV. Wanita tidak akan mendapat BV dari tempat duduk tandas, katil, kolam renang, atau daripada menyentuh objek di sekeliling mereka. Wanita yang tidak pernah melakukan persetubuhan juga boleh dijangkiti.

  • Apakah tanda-tanda dan gejala vaginosis bakteria?

Wanita yang diserang BV mungkin mempunyai keputihan yang tidak normal dengan satu bau yang tidak menyenangkan. Sesetengah wanita melaporkan bau hanyir seperti bau ikan, terutama selepas mengadakan hubungan seks. Kadang-kala keputihan tersebut juga tidak berbau dan menyerupai lendiran seperti nanah. Keputihan/lendiran, jika hadir, kebiasanya berwarna putih atau kelabu, dan mungkin juga cair seperti susu. Wanita dengan BV juga mungkin terasa pedih/terbakar semasa membuang air kecil atau gatal-gatal di sekeliling luar faraj, atau kedua-duanya. Walau bagaimanapun, kebanyakan wanita dengan BV melaporkan tidak ada tanda-tanda atau gejala sama sekali.

  • Apakah komplikasi yang diakibatkan oleh vaginosis bakteria?

Dalam kebanyakan kes, BV tidak menyebabkan apa-apa komplikasi. Tetapi terdapat beberapa risiko yang serius daripada BV termasuk:

    • Mempunyai BV semasa mengandung boleh menyebabkan wanita berisiko tinggi untuk menghidapi komplikasi kehamilan, seperti kelahiran pramatang
    • BV turut dikaitkan dengan kematian bayi di dalam rahim, bergantung kepada jenis bakteria yang menyebabkan BV
    • BV turut dikaitkan dengan peningkatan risiko jangkitan kuman selepas prosedur pembedahan seperti histerektomi atau pengguguran
    • BV juga mungkin boleh menjadi petanda bahawa wanita tersebut dijangkiti STD lain, seperti virus herpes simplex (HSV), chlamydia, dan Gonorrhea
  • Bagaimana vaginosis bakteria memberi kesan kepada wanita hamil dan bayinya?

Wanita hamil dengan BV cenderung untuk mempunyai bayi yang dilahirkan pramatang atau dengan berat lahir rendah (berat lahir yang rendah adalah kurang daripada 5.5 pound).

Bakteria yang menyebabkan BV kadangkala boleh menjangkiti uterus (rahim) dan tiub fallopio (tiub yang membawa telur dari ovari ke uterus). Jenis jangkitan ini dipanggil penyakit radang pelvik (PID). PID boleh menyebabkan ketidaksuburan atau kerosakan tiub fallopio yang cukup untuk meningkatkan risiko kehamilan ektopik dan kemandulan. Kehamilan ektopik adalah suatu keadaan yang mengancam nyawa di mana telur yang disenyawakan tumbuh di luar rahim, biasanya di dalam tiub fallopio yang boleh menyebabkan tiub fallapio pecah.

  • Bagaimana vaginosis bakteria dapat dikesan?

Doktor anda perlu melakukan beberapa ujian dan memeriksa faraj anda untuk mengesan tanda-tanda BV.  Ujian akan dilakukan keatas sample cecair faraj untuk mencari bakteria yang dikaitkan dengan BV.

  • Apakah rawatan bagi vaginosis bakteria?

Walaupun BV ada kalanya akan hilang tanpa rawatan, semua wanita dengan gejala BV patut mendapatkan rawatan untuk mengelak berlakunya komplikasi. Pasangan lelaki pada amnya tidak perlu dirawat. Walau bagaimanapun, BV boleh merebak antara pasangan seks wanita (Contoh: lelaki mempunyai beberapa pasangan seks/isteri mungkin boleh memindahkan bakteria tersebut kepada pasangan-pasangannya).

Rawatan adalah penting terutamanya bagi wanita hamil. Semua wanita mengandung yang pernah mempunyai kelahiran pramatang atau melahirkan bayi dengan berat lahir rendah perlu dipertimbangkan untuk pemeriksaan BV, tanpa mengira gejala, dan patut dirawat jika mereka mempunyai BV. Semua wanita mengandung yang mempunyai gejala BV perlu diperiksa dan dirawat.

Sesetengah pakar perubatan mengesyorkan agar semua wanita yang mahu menjalani histerektomi atau pengguguran, perlu dirawat untuk BV terlebih dahulu sebelum prosedur dijalankan, tanpa mengira gejala, untuk mengurangkan risiko mereka mendapat jangkitan.

BV boleh dirawat dengan antibiotik tertentu setelah penyakit itu disahkan oleh doktor. Berjumpalah dengan doktor yang berpengalaman untuk mendapatkan rawatan. Harus diketahui, BV boleh berulang selepas rawatan.

  • Bagaimana vaginosis bakteria boleh dicegah?

BV masih tidak dapat difahami sepenuhnya oleh ahli sains, dan cara terbaik untuk mencegahnya adalah  tidak diketahui. Walau bagaimanapun, BV dikaitkan dengan mempunyai pasangan seks baru atau mempunyai berbilang pasangan seks.

Langkah-langkah pencegahan asas berikut  boleh membantu mengurangkan risiko gangguan keseimbangan semula jadi bakteria dalam vagina yang boleh mencetuskan BV:

  • Menjaga kehormatan dan mengawal nasfu.
  • Menjaga kebersihan.
  • Menghadkan bilangan pasangan seks.
  • Jangan douche.
  • Menghabiskan kesemua ubat/antibiotik yang dibekalkan oleh doktor untuk rawatan BV, walaupun tanda-tanda dan gejala telah hilang.

Penyakit Gonorrhea

October 21, 2007 3 comments

man_depressed.jpg

  • Apakah dia Gonorrhea?

Gonorrhea adalah sejenis Penyakit Kelamin yang berjangkit melalui hubungan kelamin. Ia disebabkan oleh jangkitan bakteria Neisseria Gonorrhoeae, iaitu sejenis bakteria yang hidup dan mudah membiak dengan cepat di dalam saluran pembiakan/peranakan seperti pangkal rahim (cervix), rahim (uterus), and tiub fallopian (saluran telur) bagi wanita dan juga saluran kencing (urine canal) bagi wanita dan lelaki. Bakteria ini juga boleh membiak di dalam mulut, kerongkong, mata dan dubur.

  • Adakah Gonorrhea adalah penyakit yang biasa dijangkiti/terjadi?

Gonorrhea adalah penyakit kelamin yang mudah dijangkiti. Mengikut perangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia, Gonorrhea merupakan antara penyakit kelamin yang paling kerap menjangkiti penduduk Malaysia.

  • Bagaimana seseorang itu dijangkiti?

Gonorrhea disebarkan  cukup hanya melalui sentuhan pada zakar, faraj, mulut atau dubur mereka yang mengidapnya. Ejakulasi tidak perlu berlaku untuk bakteria ini dipindahkan atau dijangkitkan. Gonorrhea juga boleh dipindahkan dari ibu kepada bayi semasa proses melahirkan.
Mereka yang pernah dijangkiti gonorrhea dan telah berjaya dirawat, boleh dijangkiti semula jika mereka melakukan hubungan seks dengan mereka yang dijangkiti penyakit ini.

  • Siapakah yang berisiko dijangkiti?

Sesiapa sahaja yang aktif secara seksual dan kerap bertukar pasangan seks adalah berisiko untuk dijangkiti penyakit ini. Kes jangkitan Gonorrhea paling banyak dilaporkan berlaku pada remaja dan golongan muda yang aktif secara seksual.

  • Apakah tanda-tanda atau simtom-simtom Gonorrhea?

Kebanyakan lelaki tidak menunjukkan apa-apa simtom diangkiti Gonorrhea. Sesetengahnya pula akan dapat melihat simtom selepas 2 ke 5 hari dijangkiti penyakit kelamin ini dan ada juga yang hanya mendapat simtom selepas 30 hari dijangkiti Gonorrhea. Simtom dan tanda-tanda dijangkiti dijangkiti Gonorrhea termasuklah rasa sakit ketika kencing (rasa sakit seperti sakit kencing tidak lawas), keluar lendiran berwarna putih, kuning atau kehijauan dari lubang zakar. Kadang-kala simtom dijangkiti Gonorrhea termasuklah rasa sakit dan bengkak pada buah zakar.

Bagi wanita pula, simtom dijangkiti Gonorrhea selalunya sedikit dan tidak ketara, dan kebanyakan jangkitan Gonorrhea pada wanita tidak menunjukkan apa-apa simtom atau tanda. Simtom pada wanita selalunya sering disalah sangka sebagai jangkitan kencing yang mengakibatkan kencing tidak lawas, atau jangkitan kuman pada faraj. Ini kerana simtom-simtom awal dijangkiti penyakit kelamin Gonorrhea ini adalah seperti rasa sakit ketika kencing (rasa sakit seperti sakit kencing tidak lawas), keputihan yang banyak, juga pendarahan di antara kitaran haid. Wanita yang dijangkiti Gonorrhea berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi serius akibat jangkitan tersebut, tidak kira sama ada simtom jangkitan Gonorhea itu pada awalnya jelas atau tidak.

Simtom dijangkiti Gonorrhea di lubang dubur pula termasuklah keluar lendiran dari lubang dubur, gatal, perit, berdarah atau sakit ketika membuang air besar. Jangkitan di lubang dubur kadangkala tidak kelihatan atau tidak menunjukkan apa-apa simtom. Manakala jangkitan di dalam kerongkong pula kebiasaanya seperti sakit tekak, walaupun lazimnya ia tidak menunjukkan apa-apa simtom akibat jangkitan Gonorrhea di kerongkong.

  • Apakah komplikasi yang diakibatkan oleh Gonorrhea?

Penyakit Gonorrhea yang dibiarkan tanpa rawatan boleh mengakibatkan masalah yang serius serta kerosakan kekal pada kesihatan wanita dan juga lelaki yang dijangkiti.

depression1.jpgBagi wanita, gonorrhea adalah penyebab utama Radang Pelvis (pelvic inflammatory disease atau PID). PID kadang kala tidak menunjukkan apa-apa simtom, namun PID boleh mengakibatkan kerosakan kekal pada tiub fallopian, rahim (uterus) dan tisu-tisu di sekelilingnya. Kerosakan ini boleh membawa kepada rasa sakit yang teruk pada pelvis, mandul, dan kehamilan ektopik (hamil di luar rahim) yang boleh mengakibatkan kematian.

Bagi lelaki, jangkitan gonorrhea boleh merebak ke epididymis (salur yang membawa keluar sperma dari buah zakar/testis), mengakibatkan rasa sakit pada zakar dan buah zakar serta boleh mengakibatkan mandul sekiranya dibiarkan tanpa rawatan.

Kuman yang mengakibatkan Gonorrhea juga boleh memasuki darah dan sendi-sendi tulang. Keadaan ini boleh membahayakan nyawa pesakit tersebut. Mereka yang dijangkiti Gonorrhea mudah dijangkiti virus HIV sekira terdedah kepada virus tersebut. Pembawa HIV yang mengidap Gonorrhea juga dapat memindahkan virus HIV dengan mudah kepada orang lain.

Bagi wanita hamil, Gonorrhea boleh dipindahkan dari ibu kepada bayi semasa proses melahirkan bayi. Jangkitan Gonorrhea kepada bayi boleh mengakibatkan bayi buta, jangkitan pada sendi tulang bayi, atau jangkitan pada darah yang boleh mengakibatkan kematian pada bayi yang dijangkiti.

Gonorrhea boleh dirawat dan diubati dengan pengambilan antibiotik ketika hamil. Rawatan kepada Gonorrhea hendaklah diberi kepada ibu hamil yang dijangkiti sebaik sahaja penyakit ini dapat dikesan, untuk mengurangkan risiko komplikasi jangkitan kepada bayi. Wanita hamil digalakkan menjalani ujian untuk mengesan penyakit kelamin semasa di awal fasa kehamilan. Wanita hamil yang dijangkiti penyakit kelamin harus mendapatkan nasihat dan rawatan dari doktor.

  • Bagaimana Gonorrhea dapat dikesan?

Terdapat beberapa cara ujian makmal dan di klinik untuk mengesan jangkitan Gonorrhea bagi lelaki dan wanita. Ujian air kencing atau ujian darah atau  pengambilan contoh daripada kawasan jangkitan seperti pangkal rahim, salur kencing, kerongkong, dubur atau zakar adalah cara untuk mengesan kehadiran bakteria penyakit ini. Sila berjumpa doktor anda untuk mendapatkan rawatan atau mengesan kehadiran Gonorrhea.

  • Apakah rawatan untuk Gonorrhea?

Beberapa antibiotik dapat menyembuhkan Gonorrhea untuk remaja dan orang dewasa.  Bagaimanapun, bakteria yang mengakibatkan Gonorrhea semakin tahan kepada ubat-ubatan biasa dan ini menyukarkan proses rawatan. Oleh kerana kebanyakan mereka yang dijangkiti Gonorrhea turut dijangkiti Chlamydia, antibiotik untuk kedua-dua penyakit kelamin ini akan diberikan sekali. Mereka yang dijangkiti Gonorrhea harus melakukan ujian untuk mengesan kehadiran penyakit kelamin (STD) yang lain.

Adalah amat penting untuk menghabiskan kesemua antibiotik yang diberi dan mengikut arahan cara pengambilan antibiotik yang betul seperti yang diarahkan oleh doktor anda untuk menyembuhkan jangkitan Gonorrhea. Walaupun terdapat ubat-ubatan dapat menyembuhkan Gonorrhea, tetapi ianya tidak akan dapat menyembuhkan kembali kerosakan kekal yang diakibatkan oleh penyakit ini, sekiranya berlaku. Mereka yang pernah dijangkiti dan telah sembuh dari jangkitan Gonorrhea, boleh mendapat semula penyakit ini sekiranya mereka melakukan hubungan seksual dengan mereka yang dijangkiti Gonorrhea.

Sekiranya rawatan telah diberikan dan antibiotik telah habis diambil, dan masih terdapat simtom jangkitan, pesakit hendaklah memberitahu dan berjumpa semula doktor mereka untuk diuji sekali lagi.

  • Bagaimana Gonorrhea boleh dielak?

Seperti jangkitan Penyakit Kelamin yang lain, jangkitan Gonorrhea boleh dielak dengan tidak melakukan hubungan seksual, atau berada di dalam hubungan monogamous (hanya satu pasangan) dengan pasangan yang telah disahkan secara klinikal tidak dijangkiti penyakit ini.

Penggunakan kondom getah dengan cara yang betul dan pada setiap sesi hubungan kelamin boleh mengurangkan risiko jangkitan penyakit kelamin. Apa-apa perubahan terhadap organ kelamin anda seperti keputihan yang luar biasa, sakit ketika kencing, ruam atau lepuh, anda harus menghentikan kegiatan seks serta merta dan berjumpa doktor untuk mendapatkan kepastian tentang jangkitan atau perubahan yang berlaku.

multi-color-condom.gifMereka yang dijangkiti Gonorrhea serta pasangan seksnya hendaklah berhenti dari melakukan hubungan seksual sehingga tamat tempoh berubat. Kesemua pasangan seks hendaklah diuji dan dirawat sekiranya disahkan mengidap Gonorrhea. Jika tidak, penyakit ini akan terus berjangkit dan tidak akan sembuh.

Kehamilan dan Penyakit Kelamin

October 18, 2007 2 comments

pregnancy-std.jpgWanita boleh dijangkiti Penyakit Kelamin (STD) sama ada dia hamil atau tidak. Kehamilan tidak menghalang wanita atau bayi yang dikandungnya daripada dijangkiti penyakit kelamin. Malahan, kesan penyakit kelamin boleh menjadi lebih serius pada wanita hamil, dan kadang kala boleh membahayakan nyawa si ibu dan anak. Adalah penting bagi wanita hamil untuk mengetahui kesan buruk penyakit kelamin terhadap kehamilan, cara-cara menangani dan melindungi dirinya dan bayi daripada dijangkiti penyakit kelamin.

  • Adakah jangkitan penyakit kelamin semasa kehamilan sesuatu yang biasa terjadi?

Sesetengah penyakit kelamin seperti Herpes Kelamin dan Bacterial Vaginosis, boleh dikatakan lazim menjangkiti wanita hamil.

  • Apakah kesan Penyakit Kelamin terhadap wanita hamil dan bayi?

Kebanyakan kesan Penyakit Kelamin terhadap wanita hamil adalah sama dengan  wanita yang tidak hamil. Penyakit Kelamin boleh mengakibatkan kanser pangkal rahim dan beberapa kanser yang lain, hepatitis kronik, radang pelvis, kemandulan dan penyakit-penyakit yang lainnya. Kebanyakan penyakit kelamin pada perempuan berlaku secara “senyap”, iaitu tanpa gejala atau tanda.

Penyakit Kelamin pada wanita hamil boleh juga mengakibatkan kelahiran pra-matang, pecah air ketuban sebelum waktu, dan juga jangkitan pada air kencing selepas melahirkan.

Wanita hamil juga boleh memindahkan Penyakit Kelamin mereka kepada bayi sebelum, semasa atau sesudah proses melahirkan. Sesetengah Penyakit Kelamin (seperti sifilis) boleh menyeberangi uri dan menjangkiti bayi di dalam rahim ibu. Sesetengah Penyakit Kelamin pula (seperti gonorrhea, chlamydia, hepatits B, dan herpes kelamin) boleh dipindahkan dari ibu kepada bayi semasa proses melahirkan bayi. HIV pula boleh menyeberangi uri ketika dalam kandungan, menjangkiti bayi semasa proses kelahiran dan tidak seperti Penyakit Kelamin yang lain, ianya juga boleh menjangkiti bayi ketika ibu yang dijangkiti HIV ini meyusukan bayinya dengan susu badan.

Kesan bahaya Penyakit Kelamin terhadap bayi pula termasuklah bayi mati dalam kandungan, bayi dilahirkan pramatang, bayi dilahirkan kurang berat badan (kurang dari 5 pounds), conjunctivitis (jangkitan penyakit mata), pneumonia (radang paru-paru), neonatal sepsis (jangkitan dalam saliran darah bayi), kerosakan saraf (seperti kerosakan otak atau kurang koordinasi dalam pergerakan badan), buta, pekak, hepatitis akut, meningitis dan kerosakan hati.

Sesetengah masalah ini boleh diatasi sekiranya ibu hamil ini menerima penjagaan rutin ketika hamil, seperti melakukan pengesanan Penyakit Kelamin ketika di awal kehamilan dan jika perlu melakukan ujian berulangkali semasa kehamilan dan semasa hampir dengan masa kelahiran. Sesetengah masalah pula boleh diubati jika ianya dikesan ketika kelahiran.

  • Adakah wanita hamil perlu menjalani ujian untuk mengesan Penyakit Kelamin?

Penyakit Kelamin boleh menjangkiti semua wanita tidak kira walau apapun taraf sosioekonimi dan taraf pendidikan umur, bangsa, etnik atau agama. Dengan itu wanita hamil digalakkan menjalani ujian untuk mengesan penyakit kelamin berikut pada masa melakukan ujian kesihatan ketika hamil:

Sesetengah pakar turut menyarankan agar wanita yang pernah melahirkan bayi pra-matang untuk menjalani ujian mengesan jangkitan Bacterial Vaginosis (BV) pada lawatan pertama mereka ke klinik.

Wanita hamil harus menyatakan hasratnya kepada doktor mereka untuk menjalani ujian mengesan penyakit kelamin kerana kebanyakan doktor kebiasaannya tidak melakukan ujian tersebut secara rutin. Walaupun anda telah pernah menjalani ujian mengesan jangkitan penyakit kelamin sebelum kehamilan, anda juga digalakkan untuk melakukan sekali lagi ketika hamil.

  • Bolehkah Penyakit Kelamin dirawat ketika hamil?

Chlamydia, Gonorrhea, Sifilis, Trichomonas, and Bacterial Vaginosis (BV) boleh dirawat dan diubati dengan pengambilan antibiotik ketika hamil. Tiada rawatan atau penawar bagi penyakit kelamin yang diakibatkan oleh virus seperti herpes kelamin dan HIV, tetapi ubat antiviral untuk herpes kelamin dan HIV boleh mengurangkan gejala atau kesan penyakit tersebut pada wanita hamil. Untuk wanita hamil yang menghidap atau dijangkiti herpes kelamin ketika hampir waktu melahirkan, doktor anda akan menggalakkan anda untuk melakukan kelahiran secara pembedahan cesarean (C-section) bagi melindungi bayi anda dari dijangkiti virus HSV/herpes kelamin. Kelahiran secara cesarean juga merupakan salah satu pilihan  untuk wanita hamil yang menghidap HIV.

Wanita hamil yang disahkan bukan penghidap atau pembawa hepatitis B juga boleh mendapatkan vaksin hepatitis B semasa hamil.

pregnant.jpg

  • Bagaimanakah wanita hamil dapat melindungi diri dan kandungan mereka daripada dijangkiti?

Cara yang paling pasti untuk mengelakkan pemindahan dan jangkitan Penyakit Kelamin, adalah dengan tidak melakukan hubungan seksual, atau berada di dalam hubungan monogamous (hanya satu pasangan) dengan pasangan yang telah disahkan secara klinikal tidak dijangkiti penyakit kelamin.

Penyakit Herpes Kelamin boleh berlaku kepada kedua-dua lelaki dan wanita di kawasan kelamin yang dilindungi oleh kondom, juga di kawasan yang tidak dilindungi kondom. Menggunakan kondom getah dengan cara yang betul dan pada setiap sesi hubungan kelamin boleh mengurangkan risiko jangkitan HIV, iaitu virus yang mengakibatkan penyakit AIDS. Penggunaan kondom getah dengan cara yang betul dan pada setiap sesi hubungan kelamin juga boleh mengurangkan risiko dijangkiti penyakit kelamin yang lain seperti gonorrhea, chlamydia, dan trichomoniasis.

Penyakit Kelamin seperti Herpes, Ketuat kelamin dan jangkitan virus human papillomavirus (HPV) boleh berlaku kepada kedua-dua lelaki dan wanita di kawasan kelamin yang dilindungi oleh kondom, juga di kawasan yang tidak dilindungi kondom. Menggunakan kondom getah dengan cara yang betul dan pada setiap sesi hubungan kelamin hanya boleh mengurangkan risiko jangkitan. Oleh kerana kondom getah mungkin tidak dapat melindungi sepenuhnya kawasan yang  dijangkiti walaupun digunakan dengan cara yang betul, ianya tidak menjamin bahawa jangkitan tidak akan berlaku.

Sekiranya wanita hamil mengesyaki dirinya telah dijangkiti penyakit kelamin, sila berjumpa doktor anda dengan segera sebelum komplikasi buruk berlaku.

Penyakit Chlamydia

October 11, 2007 1 comment

worry1.jpg

  • Apakah dia Penyakit Chlamydia?

Chlamydia merupakan sejenis penyakit kelamin yang paling biasa berlaku. Ia disebabkan oleh jangkitan bakteria Chlamydia Trachomatis, iaitu sejenis bakteria yang mampu merosakkan organ peranakan wanita. Walaupun simtom penyakit Chlamydia ini lazimnya sederhana dan tidak ketara bagi kebanyakan yang dijangkiti, penyakit ini berpotensi untuk memberi komplikasi serius terhadap kerosakan kekal pada organ peranakan wanita dan seterusnya boleh mengakibatkan kemandulan.

  • Adakah Chlamydia adalah penyakit yang biasa dijangkiti/terjadi?

Chlamydia adalah penyakit kelamin yang paling kerap sekali dilaporkan. Kebanyakan pesakit tidak mengetahui mereka telah dijangkiti dan tidak pernah melakukan apa-apa ujian untuk mengesan kehadiran Chlamydia ini. Ini kerana Chlamydia dikenali sebagai penyakit yang menyerang secara “senyap” (silent desease). Wanita yang telah mendapat rawatan Chlamydia selalunya akan dijangkiti semula penyakit ini sekiranya pasangan seks mereka tidak mendapatkan rawatan.

  • Bagaimana seseorang itu boleh dijangkiti?

Chlamydia boleh dipindahkan melalui hubungan hubungan seks menerusi faraj, dubur ataupun mulut. Ia juga boleh dipindahkan dari ibu kepada bayi semasa proses kelahiran. Chlamydia boleh menjangkiti sesiapa sahaja sama ada wanita atau lelaki yang aktif secara seksual. Semakin ramai pasangan seks seseorang itu, semakin tinggi risikonya untuk dijangkiti penyakit kelamin.

  • Apakah tanda-tanda dan simtom Chlamydia?

Chlamydia dikenali sebagai penyakit yang menyerang secara “senyap”. Ini kerana kira-kira 75% daripada wanita yang dijangkiti dan 50% daripada lelaki yang dijangkiti tidak menunjukkan apa-apa tanda atau simtom. Bagi mereka yang mengalami simtom pula, simtom Chlamydia akan mula kelihatan selepas kira-kira 1 hingga 3 minggu terdedah kepada bakteria tersebut.

Bagi wanita, bakteria akan menyerang pangkal rahim (cervix) dan saluran kencing (urethra). Wanita yang mempunyai simtom akan mengalami keputihan atau lendiran yang luar biasa atau merasa perit/sakit ketika kencing (seperti sakit akibat kencing tidak lawas).

women-depressed.jpg

Sesetengah wanita tidak menunjukkan apa-apa simtom walaupun bakteria telah merebak dari pangkal rahim ke tiub Fallopio (saluran yang membawa telur dari ovari (kilang telur) ke rahim untuk disenyawakan). Sesetengah wanita pula mengalami sakit perut dibahagian bawah, sakit belakang dibahagian bawah, mual, demam, sakit semasa melakukan hubungan kelamin, atau pendarahan di antara kitaran haid.

Bagi lelaki yang mempunyai tanda dijangkiti, simtom jangkitan penyakit ini termasuk keluar cecair/lendiran dari zakar, atau merasa sakit ketika kencing. Sesetengah lelaki akan merasa perit dan gatal di kawasan lubang kencing. Ada juga lelaki yang mengalami bengkak dan sakit di kawasan buah zakar.

Bagi lelaki atau wanita yang melakukan hubungan seks menerusi lubang dubur, jangkitan Chlamydia boleh berlaku di saluran najis (rektum), yang mengakibatkan kesakitan di saluran tersebut, pendarahan atau lendiran. Chlamydia turut menyerang kerongkong / saluran tekak wanita atau lelaki yang melakukan hubungan seks menerusi mulut (oral sex) kepada pasangan yang dijangkiti.

  • Apakah komplikasi yang diakibatkan oleh Chlamydia?

Tanpa rawatan jangkitan Chlamydia boleh mengakibatkan komplikasi serius kepada organ peranakan. Ianya juga turut menimbulkan masalah kesihatan yang lain sama ada dalam jangkamasa panjang atau pendek. Oleh kerana penyakit Chlamydia dikenali sebagai penyakit yang menyerang secara “senyap”, kerosakan dan komplikasi juga akan berlaku secara “senyap” dan kebiasaannya komplikasi hanya akan disedari apabila kerosakan teruk telah berlaku.

Bagi wanita, tanpa rawatan jangkitan akan tersebar ke dalam rahim (uterus) atau tiub fallopio dan mengakibatkan Radang Pelvis (pelvic inflammatory disease atau PID). PID boleh mengakibatkan kerosakan kekal pada tiub fallopio, rahim (uterus) dan tisu-tisu di sekelilingnya.

Bakteria boleh menyerang tiub fallopian tanpa disedari, menyebabkan tisu normal bertukar menjadi tisu parut.  Parut boleh mengganggu dan menghalang pergerakan telur ke dalam rahim. Jika tiub fallopian tersekat sepenuhnya oleh tisu parut, sperma tidak dapat berenang untuk mencari telur, dan persenyawaan tidak dapat berlaku, lantas mengakibatkan wanita tersebut menjadi tidak subur/mandul. Kemandulan juga boleh berlaku jika tiub fallopio separuh tersumbat atau walaupun sedikit rosak. Sehingga 10-15% wanita dengan PID boleh menjadi mandul, dan jika seseorang wanita mempunyai berbilang episod PID, risiko kemandulan adalah tinggi.

Kerosakan ini juga boleh membawa kepada rasa sakit yang teruk pada pelvis, mandul, dan kehamilan ektopik (hamil di luar rahim) yang boleh mengakibatkan kematian.

Komplikasi penyakit Chlamydia jarang berlaku pada lelaki. Walau bagaimanapun jangkitan Chlamydia pada lelaki boleh merebak ke epididymis (salur yang membawa keluar sperma dari testis), mengakibatkan rasa sakit, demam dan boleh mengakibatkan kemandulan.

Bagi wanita hamil, jangkitan Chlamydia boleh mengakibatkan kelahiran bayi pra-matang. Bayi yang lahir kepada ibu yang dijangkiti Chlamydia turut boleh dijangkiti penyakit ini pada mata dan sistem penafasan bayi tersebut. Chlamydia adalah antara faktor utama yang mengakibatkan radang paru-paru pada bayi dan conjunctivitis (sejenis penyakit mata) kepada bayi yang baru lahir.

  • Bagaimana Chlamydia dikesan?

Terdapat beberapa cara ujian makmal untuk mengesan jangkitan Chlamydia. Ujian air kencing atau ujian darah atau  pengambilan contoh daripada kawasan jangkitan seperti pangkal rahim atau zakar adalah cara untuk mengesan kehadiran bakteria penyakit ini. Sila berjumpa doktor anda untuk mendapatkan rawatan atau mengesan kehadiran Chlamydia. Peringatan: Ujian Papsmear sahaja atau ujian darah biasa tidak dapat mengesan kehadiran Chlamydia. Sila jelaskan kepada doktor anda bahawa anda ingin melakukan Ujian Chlamydia.

  • Adakah terdapat rawatan untuk Chlamydia?

Ya. Penyakit Chlamydia boleh diubati dan sembuh dengan cepat dan mudah, hanya dengan mengambil antibiotik dan menghentikan kegiatan seks sepanjang tempoh berubat. Kebiasaannya, ia dapat dirawat dalam masa kurang dari 2 minggu. Sila berjumpa doktor anda untuk mendapatkan rawatan ini.

Kesemua pasangan seks hendaklah diuji secara klinikal dan dirawat. Anda dan pasangan anda hendaklah menghentikan kegiatan seks sepanjang tempoh berubat sehingga kesemua pasangan telah dirawat dan selesai berubat, jika tidak risikonya adalah kesemua pasangan akan dijangkiti semula.

Wanita yang pasangannya tidak berubat atau tidak mendapat rawatan sempurna adalah sangat berisiko tinggi untuk dijangkiti semula. Jangkitan berulang kali terhadap wanita boleh menimbulkan komplikasi kesihatan pada organ peranakan yang serius termasuk mandul. Ujian semula untuk mengesan Chlamydia harus dilakukan oleh wanita selepas 3-4 bulan dari tarikh rawatan sebelumnya, terutama sekali jika wanita terbabit tidak pasti sama ada pasangan seksualnya telah mendapatkan rawatan sempurna atau tidak.

  • Bagaimana Chlamydia boleh dielak?

Seperti jangkitan Penyakit Kelamin yang lain, jangkitan Chlamydia tidak akan berlaku dengan tidak melakukan hubungan seksual, atau berada di dalam hubungan monogamous (hanya satu pasangan) dengan pasangan yang telah disahkan secara klinikal tidak dijangkiti penyakit ini.

Penggunakan kondom getah dengan cara yang betul dan pada setiap sesi hubungan kelamin boleh mengurangkan risiko jangkitan Chlamydia. Sekiranya anda pernah aktif atau sedang aktif secara seksual, anda digalakkan membuat ujian pengesanan Chlamydia ini sekurang-kurangnya setahun sekali. Semua wanita hamil sepatutnya melakukan ujian Chlamydia. Apa-apa perubahan terhadap organ kelamin anda seperti keputihan yang luar biasa, sakit ketika kencing, ruam atau lepuh, anda harus menghentikan kegiatan seks serta merta dan berjumpa doktor untuk mendapatkan kepastian tentang jangkitan atau perubahan yang berlaku.

Mereka yang dijangkiti Chlamydia serta pasangan seksnya hendaklah berhenti dari melakukan hubungan seksual sehingga tamat tempoh berubat. Jika tidak, penyakit ini akan terus berjangkit dan tidak dapat sembuh.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 32 other followers