Archive

Archive for the ‘Penyakit Kelamin’ Category

Sifilis (Syphilis)

March 31, 2012 Leave a comment
  • Apakah dia sifilis?

Sifilis adalah penyakit kelamin (STD) yang berjangkit, disebar melalui hubungan seks sama ada melalui vagina, dubur atau oral. Ia juga boleh disebar dari seorang ibu kepada bayinya semasa kehamilan. Sifilis disebabkan oleh bakteria Treponema pallidum. Sifilis merupakan penyakit kelamin yang berbahaya dan boleh mengancam nyawa.

  • Bagaimana seseorang itu dijangkiti?

Sifilis disebarkan melalui hubungan langsung dengan pesakit sifilis. Ulser/kudis sifilis berlaku terutamanya pada kawasan alat kelamin, faraj, dubur, atau di dalam rektum. Ulser juga boleh berlaku pada bibir dan di dalam mulut dan penyebaran berlaku semasa melakukan hubungan seks vagina, dubur atau oral .

Wanita hamil yang dijangkiti penyakit ini boleh menyebarkan kuman sifilis kepada bayi yang dikandungnya.

Sifilis tidak boleh merebak melalui tempat duduk tandas, tombol pintu, kolam renang, tab mandi, pakaian dikongsi, atau perkakas makan.

  • Apakah tanda-tanda dan gejala di kalangan orang dewasa?

Sifilis berlaku secara berperingkat-peringkat, dan gejala adalah berbeza pada setiap peringkat. Peringkat-peringkat tersebut mungkin terjadi secara bertindih, dan gejala tidak semestinya berlaku mengikut susunan peringkat. Anda juga mungkin dijangkiti dengan kuman sifilis dan tidak melihat apa-apa gejala selama bertahun-tahun.

Peringkat 1: Peringkat rendah (Primary)

Satu atau lebih ulser/kudis akan kelihatan di zakar, labia (bibir faraj), dubur dan kadang-kadang pada mulut dan bibir. Ulser ini dipanggil ‘chancre’ (klik untuk imej chancre – amaran: visual sensitif) dan akan hilang selepas beberapa minggu.

Permulaan gejala peringkat pertama terjadi sekitar 10 hingga 90 hari (purata 21 hari) setelah dijangkiti kuman sifilis. Chancre biasanya bulat, keras, kecil, dan tidak menyakitkan. Ia muncul di tempat di mana sifilis memasuki badan. Chancre bertahan selama 3 hingga 6 minggu, dan akan sembuh tanpa rawatan. Walau bagaimanapun, jika rawatan tidak diberikan, jangkitan akan beralih ke peringkat 2 (secondary).

Peringkat 2: Peringkat sekunder (Secondary)

Peringkat ini biasanya bermula dengan timbulnya ruam pada satu atau lebih bahagian badan. Ruam ini biasanya tidak akan menyebabkan kegatalan dan akan keluar ketika chancre /ulser sifilis sedang sembuh atau beberapa minggu selepas chancre telah sembuh. Ciri ruam sifilis peringkat 2 adalah kelihatan kasar, merah, atau tompok-tompok coklat kemerahan di kedua-dua tapak tangan dan bahagian tapak kaki. Walau bagaimanapun, ruam mungkin tampil berbeza – nipis, tidak jelas dan berlaku pada bahagian badan yang lain, menyerupai ruam biasa sehingga ianya tidak disedari sebagai ruam sifilis.

Selain ruam, antara gejala sifilis peringkat 2 yang lain termasuk:

• demam

•bengkak kelenjar limfa

•sakit tekak

•keguguran rambut

•sakit kepala

•hilang berat badan

•sakit otot dan keletihan

Pada peringkat ini, sifilis adalah sangat mudah berjangkit dan boleh menjangkiti pasangan dengan mudah melalui hubungan seks.

Rawatan boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang peringkat 1 dan 2 dan ianya boleh sembuh. Tanpa rawatan, tanda-tanda dan gejala sifilis peringkat 2 mungkin hilang selepas beberapa minggu. Nanum jika rawatan tidak diberikan, jangkitan akan kembali dan beralih ke peringkat 3.

Peringkat 3: Peringkat pendam/sembunyi

Sifilis peringkat 3 adalah terpendam (tersembunyi) dan peringkat ini bermula apabila gejala peringkat 1 dan 2 telah hilang. Tanpa rawatan, pesakit sifilis akan terus mempunyai sifilis walaupun tiada tanda-tanda atau gejala; jangkitan adalah kekal di dalam badan. Peringkat pendam ini boleh bertahan selama bertahun-tahun, kadangkala sehingga 20 tahun sebelum beralih ke peringkat 4 iaitu peringkat lewat/akhir.

Peringkat 4: Peringkat lewat / akhir

Sifilis Peringkat 4 terjadi pada kira-kira 15% daripada mereka yang pernah dijangkiti sifilis yang tidak mendapatkan rawatan. Peringkat ini boleh muncul 10-20 tahun selepas jangkitan pertama diperolehi.

Di peringkat akhir sifilis, penyakit ini kemudiannya merosakkan organ-organ dalaman, termasuk otak, saraf, mata, jantung, saluran darah, hati, tulang dan sendi. Tanda dan gejala peringkat lewat/akhir sifilis termasuk kesukaran menyelaras pergerakan otot, lumpuh, kebas, kabur penglihatan dan buta, dan juga demensia (nyanyuk/hilang akal). Kerosakan ini boleh menjadi cukup serius sehingga menyebabkan kematian.

Bakteria sifilis boleh menjangkiti bayi ketika di dalam kandungan. Bergantung kepada tempoh berapa lama wanita hamil tersebut telah dijangkiti kuman sifilis, dia mungkin berisiko tinggi untuk mengalami stillbirth (bayi yang lahir mati dalam kandungan) atau melahirkan bayi yang meninggal dunia sejurus selepas kelahiran. Bayi yang dijangkiti kuman sifilis mungkin juga dilahirkan tanpa ada apa-apa tanda atau gejala penyakit. Walau bagaimanapun, jika tidak dirawat dengan segera, bayi tersebut mungkin akan mengalami masalah serius dalam masa beberapa minggu. Bayi yang tidak dirawat mungkin lambat berkembang (perkembangan yang perlahan), sawan, atau mati.

  • Bagaimana sifilis dikesan?

Sesetengah doktor/pakar perubatan boleh mengesahkan dan mengesan sifilis dengan memeriksa spesimen yang diambil dari chancre (ulser/lepuh/kudis sifilis) menggunakan mikroskop khas yang dipanggil mikroskop medan-gelap. Jika bakteria sifilis hadir dalam spesimen, ianya dapat dilihat melalui mikroskop tersebut.

Ujian darah juga boleh menentukan sama ada seseorang mempunyai sifilis. Sejurus selepas jangkitan berlaku, badan akan menghasilkan antibodi sifilis yang boleh dikesan oleh ujian darah. Ujian darah adalah tepat, selamat dan murah. Selepas penyakit telah berjaya dirawat, tahap rendah antibodi sifilis mungkin akan kekal di dalam darah untuk beberapa bulan atau tahun. Oleh kerana sifilis yang tidak dirawat pada wanita hamil boleh menjangkiti dan mungkin membunuh bayi yang dikandung, setiap wanita hamil perlu menjalani ujian darah untuk sifilis.

  • Apakah hubungan antara sifilis dan HIV?

Ulser/kudis di kemaluan (chancres) disebabkan oleh sifilis, memudahkan pemindahan kuman HIV secara seksual. Apabila seseorang itu mempunyai sifilis, risiko untuk mendapat jangkitan HIV akan meningkat sehingga 5 kali ganda jika dia terdedah kepada virus itu. Ini kerana, ulser yang disebabkan oleh STD seperti sifilis, menyebabkan kudis, luka, atau rekahan pada kulit, di mana luka ini boleh berdarah dengan mudah. Dan apabila bersentuhan dengan mukosa mulut, lendiran faraj dan dubur ketika melakukan hubungan seks, ini akan meningkatkan risiko untuk dijangkiti HIV, jika terdedah kepada virus itu.

  • Apakah rawatan untuk siflis?

Sifilis mudah dirawat dan disembuhkan jika ia dikesan di peringkat awal. Satu suntikan penisilin dan antibiotik, akan menyembuhkan seseorang yang dijangkiti kuman sifilis kurang daripada setahun. Dos tambahan diperlukan untuk merawat penghidap sifilis yang dijangkiti lebih daripada satu tahun. Tiada petua, rawatan traditional atau ubat di farmasi (over-the-counter) yang boleh menyembuhkan sifilis. Rawatan yang diberikan oleh doktor anda akan membunuh bakteria sifilis dan mencegah kerosakan yang lebih teruk, tetapi ia tidak akan dapat membaiki kerosakan yang telah dilakukan (sekiranya ada).

Oleh kerana rawatan yang berkesan mudah didapati, mereka yang aktif secara seksual dan terdedah kepada risiko dijankiti STD (mengamalkan seks bebas dan bertukar pasangan) digalakkan untuk menjalani pemeriksaan mengesan Sifilis dan penyakit STD yang lainnya, sebelum terlambat. Anda perlu menyatakan dengan jelas kepada doktor anda untuk melakukan pemeriksaan Sifilis / STD.

Mereka yang sedang menerima rawatan sifilis mesti menahan diri daripada melakukan hubungan seks dengan pasangannya sehingga kudis sifilis telah sembuh sepenuhnya. Pesakit juga perlu bertanggungjawab untuk memberitahu pasangan seks mereka supaya mereka juga boleh diuji dan menerima rawatan jika perlu.

  • Apakah Sifilis akan berulang?

Jika seseorang itu pernah menghidap sifilis dan telah sembuh, ianya tidak melindungi seseorang itu daripada dijangkiti semula. Hanya ujian makmal boleh mengesahkan sama ada seseorang itu memhidapi sifilis. Oleh kerana ulser/kudis sifilis boleh tersembunyi di dalam faraj, dubur atau mulut, ianya mungkin tidak jelas bahawa pasangan seks menghidapi sifilis. Sila berjumpa doktor anda untuk memastikan adakah anda perlu diuji semula bagi mengesan sifilis selepas menerima rawatan.

  • Bagaimana sifilis boleh dicegah?

Cara terbaik untuk mengelakkan penyebaran penyakit kelamin, termasuk sifilis, adalah menahan diri dari hubungan seksual atau berada dalam hubungan yang saling monogami dengan pasangan yang telah diuji dan disahkan tidak dijangkiti.

Mengelakkan penggunaan alkohol dan dadah juga boleh membantu mencegah penyebaran sifilis kerana aktiviti-aktiviti ini boleh membawa kepada kelakuan seksual yang berisiko. Adalah penting bagi setiap pasangan seks untuk bercakap/memaklumkan antara satu sama lain mengenai status kesihatan seksual mereka dan sejarah STD lain supaya tindakan pencegahan dapat diambil.

Penyakit ulser alat kelamin seperti sifilis, boleh berlaku di kedua-dua kawasan kemaluan lelaki dan perempuan yang dilindungi oleh kondom, serta di kawasan yang tidak dilindungi. Penggunaan kondom yang betul dan konsisten hanya boleh mengurangkan risiko sifilis, serta herpes kemaluan apabila kawasan yang dijangkiti itu dilindungi, dan bukan langkah pencegahan 100%. Kondom yang dilincirkan dengan spermisid juga tidak akan membantu dalam mengelakkan penyebaran dan bukan pencegahan untuk STD atau HIV.

Penyebaran STD termasuk sifilis tidak boleh dielakkan dengan membasuh kemaluan, membuang air kecil, atau douching selepas seks. Sekiranya terdapat lelehan/lendiran /keputihan luarbiasa, sakit, atau ruam, khususnya di kawasan pangkal paha, anda harus berhenti dari melakukan hubungan seks dan berjumpalah doktor dengan segera.

Vaginosis Bakteria (Bacterial Vaginosis) BV

March 29, 2012 Leave a comment
  • Apakah Vaginosis Bakteria / Bacterial Vaginosis (BV)?

Vaginosis bakteria (BV) adalah keadaan di mana jumlah  bakteria normal di dalam faraj terganggu dan digantikan oleh peningkatan bakteria tertentu. Ia kadang-kadang disertai oleh lendiran/keputihan, bau yang tidak menyenangkan, sakit, gatal atau rasa pedih.

  • Adakah Vaginosis Bakteria (BV) merupakan penyakit yang biasa menjangkiti wanita?

BV adalah jangkitan faraj yang paling biasa di kalangan wanita. BV juga selalu di kalangan wanita hamil.

  • Bagaimana seseorang itu dijangkiti?

Punca BV masih tidak difahami sepenuhnya. BV dikaitkan dengan ketidakseimbangan jumlah bakteria yang biasanya terdapat dalam faraj wanita. Faraj biasanya mengandungi kebanyakannya bakteria “baik”, dan kurang bakteria “berbahaya”. BV terjadi apabila terdapat peningkatan jumlah bakteria berbahaya.

Tidak banyak yang diketahui tentang bagaimana seseorang wanita mendapat BV. Mana-mana wanita boleh dijangkiti. Terdapat banyak persoalan yang belum terjawab mengenai peranan yang dimainkan oleh bakteria berbahaya yang menyebabkan BV. Walau bagaimanapun, beberapa aktiviti atau amalan boleh mengakibatkan keseimbangan bakteria normal dalam vagina terganggu dan meningkatkan risiko untuk dijangkiti, antaranya:

    • Mempunyai pasangan seks baru atau berbilang pasangan seks
    • Douching (menyembur air/sabun ke dalam faraj mungkin untuk tujuan kebersihan dsb)

Adalah tidak dapat dijelaskah apakah peranan yang dimainkan oleh aktiviti seksual dalam pembentukan BV. Wanita tidak akan mendapat BV dari tempat duduk tandas, katil, kolam renang, atau daripada menyentuh objek di sekeliling mereka. Wanita yang tidak pernah melakukan persetubuhan juga boleh dijangkiti.

  • Apakah tanda-tanda dan gejala vaginosis bakteria?

Wanita yang diserang BV mungkin mempunyai keputihan yang tidak normal dengan satu bau yang tidak menyenangkan. Sesetengah wanita melaporkan bau hanyir seperti bau ikan, terutama selepas mengadakan hubungan seks. Kadang-kala keputihan tersebut juga tidak berbau dan menyerupai lendiran seperti nanah. Keputihan/lendiran, jika hadir, kebiasanya berwarna putih atau kelabu, dan mungkin juga cair seperti susu. Wanita dengan BV juga mungkin terasa pedih/terbakar semasa membuang air kecil atau gatal-gatal di sekeliling luar faraj, atau kedua-duanya. Walau bagaimanapun, kebanyakan wanita dengan BV melaporkan tidak ada tanda-tanda atau gejala sama sekali.

  • Apakah komplikasi yang diakibatkan oleh vaginosis bakteria?

Dalam kebanyakan kes, BV tidak menyebabkan apa-apa komplikasi. Tetapi terdapat beberapa risiko yang serius daripada BV termasuk:

    • Mempunyai BV semasa mengandung boleh menyebabkan wanita berisiko tinggi untuk menghidapi komplikasi kehamilan, seperti kelahiran pramatang
    • BV turut dikaitkan dengan kematian bayi di dalam rahim, bergantung kepada jenis bakteria yang menyebabkan BV
    • BV turut dikaitkan dengan peningkatan risiko jangkitan kuman selepas prosedur pembedahan seperti histerektomi atau pengguguran
    • BV juga mungkin boleh menjadi petanda bahawa wanita tersebut dijangkiti STD lain, seperti virus herpes simplex (HSV), chlamydia, dan Gonorrhea
  • Bagaimana vaginosis bakteria memberi kesan kepada wanita hamil dan bayinya?

Wanita hamil dengan BV cenderung untuk mempunyai bayi yang dilahirkan pramatang atau dengan berat lahir rendah (berat lahir yang rendah adalah kurang daripada 5.5 pound).

Bakteria yang menyebabkan BV kadangkala boleh menjangkiti uterus (rahim) dan tiub fallopio (tiub yang membawa telur dari ovari ke uterus). Jenis jangkitan ini dipanggil penyakit radang pelvik (PID). PID boleh menyebabkan ketidaksuburan atau kerosakan tiub fallopio yang cukup untuk meningkatkan risiko kehamilan ektopik dan kemandulan. Kehamilan ektopik adalah suatu keadaan yang mengancam nyawa di mana telur yang disenyawakan tumbuh di luar rahim, biasanya di dalam tiub fallopio yang boleh menyebabkan tiub fallapio pecah.

  • Bagaimana vaginosis bakteria dapat dikesan?

Doktor anda perlu melakukan beberapa ujian dan memeriksa faraj anda untuk mengesan tanda-tanda BV.  Ujian akan dilakukan keatas sample cecair faraj untuk mencari bakteria yang dikaitkan dengan BV.

  • Apakah rawatan bagi vaginosis bakteria?

Walaupun BV ada kalanya akan hilang tanpa rawatan, semua wanita dengan gejala BV patut mendapatkan rawatan untuk mengelak berlakunya komplikasi. Pasangan lelaki pada amnya tidak perlu dirawat. Walau bagaimanapun, BV boleh merebak antara pasangan seks wanita (Contoh: lelaki mempunyai beberapa pasangan seks/isteri mungkin boleh memindahkan bakteria tersebut kepada pasangan-pasangannya).

Rawatan adalah penting terutamanya bagi wanita hamil. Semua wanita mengandung yang pernah mempunyai kelahiran pramatang atau melahirkan bayi dengan berat lahir rendah perlu dipertimbangkan untuk pemeriksaan BV, tanpa mengira gejala, dan patut dirawat jika mereka mempunyai BV. Semua wanita mengandung yang mempunyai gejala BV perlu diperiksa dan dirawat.

Sesetengah pakar perubatan mengesyorkan agar semua wanita yang mahu menjalani histerektomi atau pengguguran, perlu dirawat untuk BV terlebih dahulu sebelum prosedur dijalankan, tanpa mengira gejala, untuk mengurangkan risiko mereka mendapat jangkitan.

BV boleh dirawat dengan antibiotik tertentu setelah penyakit itu disahkan oleh doktor. Berjumpalah dengan doktor yang berpengalaman untuk mendapatkan rawatan. Harus diketahui, BV boleh berulang selepas rawatan.

  • Bagaimana vaginosis bakteria boleh dicegah?

BV masih tidak dapat difahami sepenuhnya oleh ahli sains, dan cara terbaik untuk mencegahnya adalah  tidak diketahui. Walau bagaimanapun, BV dikaitkan dengan mempunyai pasangan seks baru atau mempunyai berbilang pasangan seks.

Langkah-langkah pencegahan asas berikut  boleh membantu mengurangkan risiko gangguan keseimbangan semula jadi bakteria dalam vagina yang boleh mencetuskan BV:

  • Menjaga kehormatan dan mengawal nasfu.
  • Menjaga kebersihan.
  • Menghadkan bilangan pasangan seks.
  • Jangan douche.
  • Menghabiskan kesemua ubat/antibiotik yang dibekalkan oleh doktor untuk rawatan BV, walaupun tanda-tanda dan gejala telah hilang.
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.