Archive

Archive for the ‘Bakteria Vaginosis (BV)’ Category

Vaginosis Bakteria (Bacterial Vaginosis) BV

March 29, 2012 Leave a comment
  • Apakah Vaginosis Bakteria / Bacterial Vaginosis (BV)?

Vaginosis bakteria (BV) adalah keadaan di mana jumlah  bakteria normal di dalam faraj terganggu dan digantikan oleh peningkatan bakteria tertentu. Ia kadang-kadang disertai oleh lendiran/keputihan, bau yang tidak menyenangkan, sakit, gatal atau rasa pedih.

  • Adakah Vaginosis Bakteria (BV) merupakan penyakit yang biasa menjangkiti wanita?

BV adalah jangkitan faraj yang paling biasa di kalangan wanita. BV juga selalu di kalangan wanita hamil.

  • Bagaimana seseorang itu dijangkiti?

Punca BV masih tidak difahami sepenuhnya. BV dikaitkan dengan ketidakseimbangan jumlah bakteria yang biasanya terdapat dalam faraj wanita. Faraj biasanya mengandungi kebanyakannya bakteria “baik”, dan kurang bakteria “berbahaya”. BV terjadi apabila terdapat peningkatan jumlah bakteria berbahaya.

Tidak banyak yang diketahui tentang bagaimana seseorang wanita mendapat BV. Mana-mana wanita boleh dijangkiti. Terdapat banyak persoalan yang belum terjawab mengenai peranan yang dimainkan oleh bakteria berbahaya yang menyebabkan BV. Walau bagaimanapun, beberapa aktiviti atau amalan boleh mengakibatkan keseimbangan bakteria normal dalam vagina terganggu dan meningkatkan risiko untuk dijangkiti, antaranya:

    • Mempunyai pasangan seks baru atau berbilang pasangan seks
    • Douching (menyembur air/sabun ke dalam faraj mungkin untuk tujuan kebersihan dsb)

Adalah tidak dapat dijelaskah apakah peranan yang dimainkan oleh aktiviti seksual dalam pembentukan BV. Wanita tidak akan mendapat BV dari tempat duduk tandas, katil, kolam renang, atau daripada menyentuh objek di sekeliling mereka. Wanita yang tidak pernah melakukan persetubuhan juga boleh dijangkiti.

  • Apakah tanda-tanda dan gejala vaginosis bakteria?

Wanita yang diserang BV mungkin mempunyai keputihan yang tidak normal dengan satu bau yang tidak menyenangkan. Sesetengah wanita melaporkan bau hanyir seperti bau ikan, terutama selepas mengadakan hubungan seks. Kadang-kala keputihan tersebut juga tidak berbau dan menyerupai lendiran seperti nanah. Keputihan/lendiran, jika hadir, kebiasanya berwarna putih atau kelabu, dan mungkin juga cair seperti susu. Wanita dengan BV juga mungkin terasa pedih/terbakar semasa membuang air kecil atau gatal-gatal di sekeliling luar faraj, atau kedua-duanya. Walau bagaimanapun, kebanyakan wanita dengan BV melaporkan tidak ada tanda-tanda atau gejala sama sekali.

  • Apakah komplikasi yang diakibatkan oleh vaginosis bakteria?

Dalam kebanyakan kes, BV tidak menyebabkan apa-apa komplikasi. Tetapi terdapat beberapa risiko yang serius daripada BV termasuk:

    • Mempunyai BV semasa mengandung boleh menyebabkan wanita berisiko tinggi untuk menghidapi komplikasi kehamilan, seperti kelahiran pramatang
    • BV turut dikaitkan dengan kematian bayi di dalam rahim, bergantung kepada jenis bakteria yang menyebabkan BV
    • BV turut dikaitkan dengan peningkatan risiko jangkitan kuman selepas prosedur pembedahan seperti histerektomi atau pengguguran
    • BV juga mungkin boleh menjadi petanda bahawa wanita tersebut dijangkiti STD lain, seperti virus herpes simplex (HSV), chlamydia, dan Gonorrhea
  • Bagaimana vaginosis bakteria memberi kesan kepada wanita hamil dan bayinya?

Wanita hamil dengan BV cenderung untuk mempunyai bayi yang dilahirkan pramatang atau dengan berat lahir rendah (berat lahir yang rendah adalah kurang daripada 5.5 pound).

Bakteria yang menyebabkan BV kadangkala boleh menjangkiti uterus (rahim) dan tiub fallopio (tiub yang membawa telur dari ovari ke uterus). Jenis jangkitan ini dipanggil penyakit radang pelvik (PID). PID boleh menyebabkan ketidaksuburan atau kerosakan tiub fallopio yang cukup untuk meningkatkan risiko kehamilan ektopik dan kemandulan. Kehamilan ektopik adalah suatu keadaan yang mengancam nyawa di mana telur yang disenyawakan tumbuh di luar rahim, biasanya di dalam tiub fallopio yang boleh menyebabkan tiub fallapio pecah.

  • Bagaimana vaginosis bakteria dapat dikesan?

Doktor anda perlu melakukan beberapa ujian dan memeriksa faraj anda untuk mengesan tanda-tanda BV.  Ujian akan dilakukan keatas sample cecair faraj untuk mencari bakteria yang dikaitkan dengan BV.

  • Apakah rawatan bagi vaginosis bakteria?

Walaupun BV ada kalanya akan hilang tanpa rawatan, semua wanita dengan gejala BV patut mendapatkan rawatan untuk mengelak berlakunya komplikasi. Pasangan lelaki pada amnya tidak perlu dirawat. Walau bagaimanapun, BV boleh merebak antara pasangan seks wanita (Contoh: lelaki mempunyai beberapa pasangan seks/isteri mungkin boleh memindahkan bakteria tersebut kepada pasangan-pasangannya).

Rawatan adalah penting terutamanya bagi wanita hamil. Semua wanita mengandung yang pernah mempunyai kelahiran pramatang atau melahirkan bayi dengan berat lahir rendah perlu dipertimbangkan untuk pemeriksaan BV, tanpa mengira gejala, dan patut dirawat jika mereka mempunyai BV. Semua wanita mengandung yang mempunyai gejala BV perlu diperiksa dan dirawat.

Sesetengah pakar perubatan mengesyorkan agar semua wanita yang mahu menjalani histerektomi atau pengguguran, perlu dirawat untuk BV terlebih dahulu sebelum prosedur dijalankan, tanpa mengira gejala, untuk mengurangkan risiko mereka mendapat jangkitan.

BV boleh dirawat dengan antibiotik tertentu setelah penyakit itu disahkan oleh doktor. Berjumpalah dengan doktor yang berpengalaman untuk mendapatkan rawatan. Harus diketahui, BV boleh berulang selepas rawatan.

  • Bagaimana vaginosis bakteria boleh dicegah?

BV masih tidak dapat difahami sepenuhnya oleh ahli sains, dan cara terbaik untuk mencegahnya adalah  tidak diketahui. Walau bagaimanapun, BV dikaitkan dengan mempunyai pasangan seks baru atau mempunyai berbilang pasangan seks.

Langkah-langkah pencegahan asas berikut  boleh membantu mengurangkan risiko gangguan keseimbangan semula jadi bakteria dalam vagina yang boleh mencetuskan BV:

  • Menjaga kehormatan dan mengawal nasfu.
  • Menjaga kebersihan.
  • Menghadkan bilangan pasangan seks.
  • Jangan douche.
  • Menghabiskan kesemua ubat/antibiotik yang dibekalkan oleh doktor untuk rawatan BV, walaupun tanda-tanda dan gejala telah hilang.
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.