Penyakit Chlamydia

October 11, 2007

worry1.jpg

  • Apakah dia Penyakit Chlamydia?

Chlamydia merupakan sejenis penyakit kelamin yang paling biasa berlaku. Ia disebabkan oleh jangkitan bakteria Chlamydia Trachomatis, iaitu sejenis bakteria yang mampu merosakkan organ peranakan wanita. Walaupun simtom penyakit Chlamydia ini lazimnya sederhana dan tidak ketara bagi kebanyakan yang dijangkiti, penyakit ini berpotensi untuk memberi komplikasi serius terhadap kerosakan kekal pada organ peranakan wanita dan seterusnya boleh mengakibatkan kemandulan.

  • Adakah Chlamydia adalah penyakit yang biasa dijangkiti/terjadi?

Chlamydia adalah penyakit kelamin yang paling kerap sekali dilaporkan. Kebanyakan pesakit tidak mengetahui mereka telah dijangkiti dan tidak pernah melakukan apa-apa ujian untuk mengesan kehadiran Chlamydia ini. Ini kerana Chlamydia dikenali sebagai penyakit yang menyerang secara “senyap” (silent desease). Wanita yang telah mendapat rawatan Chlamydia selalunya akan dijangkiti semula penyakit ini sekiranya pasangan seks mereka tidak mendapatkan rawatan.

  • Bagaimana seseorang itu boleh dijangkiti?

Chlamydia boleh dipindahkan melalui hubungan hubungan seks menerusi faraj, dubur ataupun mulut. Ia juga boleh dipindahkan dari ibu kepada bayi semasa proses kelahiran. Chlamydia boleh menjangkiti sesiapa sahaja sama ada wanita atau lelaki yang aktif secara seksual. Semakin ramai pasangan seks seseorang itu, semakin tinggi risikonya untuk dijangkiti penyakit kelamin.

  • Apakah tanda-tanda dan simtom Chlamydia?

Chlamydia dikenali sebagai penyakit yang menyerang secara “senyap”. Ini kerana kira-kira 75% daripada wanita yang dijangkiti dan 50% daripada lelaki yang dijangkiti tidak menunjukkan apa-apa tanda atau simtom. Bagi mereka yang mengalami simtom pula, simtom Chlamydia akan mula kelihatan selepas kira-kira 1 hingga 3 minggu terdedah kepada bakteria tersebut.

Bagi wanita, bakteria akan menyerang pangkal rahim (cervix) dan saluran kencing (urethra). Wanita yang mempunyai simtom akan mengalami keputihan atau lendiran yang luar biasa atau merasa perit/sakit ketika kencing (seperti sakit akibat kencing tidak lawas).

women-depressed.jpg

Sesetengah wanita tidak menunjukkan apa-apa simtom walaupun bakteria telah merebak dari pangkal rahim ke tiub Fallopio (saluran yang membawa telur dari ovari (kilang telur) ke rahim untuk disenyawakan). Sesetengah wanita pula mengalami sakit perut dibahagian bawah, sakit belakang dibahagian bawah, mual, demam, sakit semasa melakukan hubungan kelamin, atau pendarahan di antara kitaran haid.

Bagi lelaki yang mempunyai tanda dijangkiti, simtom jangkitan penyakit ini termasuk keluar cecair/lendiran dari zakar, atau merasa sakit ketika kencing. Sesetengah lelaki akan merasa perit dan gatal di kawasan lubang kencing. Ada juga lelaki yang mengalami bengkak dan sakit di kawasan buah zakar.

Bagi lelaki atau wanita yang melakukan hubungan seks menerusi lubang dubur, jangkitan Chlamydia boleh berlaku di saluran najis (rektum), yang mengakibatkan kesakitan di saluran tersebut, pendarahan atau lendiran. Chlamydia turut menyerang kerongkong / saluran tekak wanita atau lelaki yang melakukan hubungan seks menerusi mulut (oral sex) kepada pasangan yang dijangkiti.

  • Apakah komplikasi yang diakibatkan oleh Chlamydia?

Tanpa rawatan jangkitan Chlamydia boleh mengakibatkan komplikasi serius kepada organ peranakan. Ianya juga turut menimbulkan masalah kesihatan yang lain sama ada dalam jangkamasa panjang atau pendek. Oleh kerana penyakit Chlamydia dikenali sebagai penyakit yang menyerang secara “senyap”, kerosakan dan komplikasi juga akan berlaku secara “senyap” dan kebiasaannya komplikasi hanya akan disedari apabila kerosakan teruk telah berlaku.

Bagi wanita, tanpa rawatan jangkitan akan tersebar ke dalam rahim (uterus) atau tiub fallopio dan mengakibatkan Radang Pelvis (pelvic inflammatory disease atau PID). PID boleh mengakibatkan kerosakan kekal pada tiub fallopio, rahim (uterus) dan tisu-tisu di sekelilingnya.

Bakteria boleh menyerang tiub fallopian tanpa disedari, menyebabkan tisu normal bertukar menjadi tisu parut.  Parut boleh mengganggu dan menghalang pergerakan telur ke dalam rahim. Jika tiub fallopian tersekat sepenuhnya oleh tisu parut, sperma tidak dapat berenang untuk mencari telur, dan persenyawaan tidak dapat berlaku, lantas mengakibatkan wanita tersebut menjadi tidak subur/mandul. Kemandulan juga boleh berlaku jika tiub fallopio separuh tersumbat atau walaupun sedikit rosak. Sehingga 10-15% wanita dengan PID boleh menjadi mandul, dan jika seseorang wanita mempunyai berbilang episod PID, risiko kemandulan adalah tinggi.

Kerosakan ini juga boleh membawa kepada rasa sakit yang teruk pada pelvis, mandul, dan kehamilan ektopik (hamil di luar rahim) yang boleh mengakibatkan kematian.

Komplikasi penyakit Chlamydia jarang berlaku pada lelaki. Walau bagaimanapun jangkitan Chlamydia pada lelaki boleh merebak ke epididymis (salur yang membawa keluar sperma dari testis), mengakibatkan rasa sakit, demam dan boleh mengakibatkan kemandulan.

Bagi wanita hamil, jangkitan Chlamydia boleh mengakibatkan kelahiran bayi pra-matang. Bayi yang lahir kepada ibu yang dijangkiti Chlamydia turut boleh dijangkiti penyakit ini pada mata dan sistem penafasan bayi tersebut. Chlamydia adalah antara faktor utama yang mengakibatkan radang paru-paru pada bayi dan conjunctivitis (sejenis penyakit mata) kepada bayi yang baru lahir.

  • Bagaimana Chlamydia dikesan?

Terdapat beberapa cara ujian makmal untuk mengesan jangkitan Chlamydia. Ujian air kencing atau ujian darah atau  pengambilan contoh daripada kawasan jangkitan seperti pangkal rahim atau zakar adalah cara untuk mengesan kehadiran bakteria penyakit ini. Sila berjumpa doktor anda untuk mendapatkan rawatan atau mengesan kehadiran Chlamydia. Peringatan: Ujian Papsmear sahaja atau ujian darah biasa tidak dapat mengesan kehadiran Chlamydia. Sila jelaskan kepada doktor anda bahawa anda ingin melakukan Ujian Chlamydia.

  • Adakah terdapat rawatan untuk Chlamydia?

Ya. Penyakit Chlamydia boleh diubati dan sembuh dengan cepat dan mudah, hanya dengan mengambil antibiotik dan menghentikan kegiatan seks sepanjang tempoh berubat. Kebiasaannya, ia dapat dirawat dalam masa kurang dari 2 minggu. Sila berjumpa doktor anda untuk mendapatkan rawatan ini.

Kesemua pasangan seks hendaklah diuji secara klinikal dan dirawat. Anda dan pasangan anda hendaklah menghentikan kegiatan seks sepanjang tempoh berubat sehingga kesemua pasangan telah dirawat dan selesai berubat, jika tidak risikonya adalah kesemua pasangan akan dijangkiti semula.

Wanita yang pasangannya tidak berubat atau tidak mendapat rawatan sempurna adalah sangat berisiko tinggi untuk dijangkiti semula. Jangkitan berulang kali terhadap wanita boleh menimbulkan komplikasi kesihatan pada organ peranakan yang serius termasuk mandul. Ujian semula untuk mengesan Chlamydia harus dilakukan oleh wanita selepas 3-4 bulan dari tarikh rawatan sebelumnya, terutama sekali jika wanita terbabit tidak pasti sama ada pasangan seksualnya telah mendapatkan rawatan sempurna atau tidak.

  • Bagaimana Chlamydia boleh dielak?

Seperti jangkitan Penyakit Kelamin yang lain, jangkitan Chlamydia tidak akan berlaku dengan tidak melakukan hubungan seksual, atau berada di dalam hubungan monogamous (hanya satu pasangan) dengan pasangan yang telah disahkan secara klinikal tidak dijangkiti penyakit ini.

Penggunakan kondom getah dengan cara yang betul dan pada setiap sesi hubungan kelamin boleh mengurangkan risiko jangkitan Chlamydia. Sekiranya anda pernah aktif atau sedang aktif secara seksual, anda digalakkan membuat ujian pengesanan Chlamydia ini sekurang-kurangnya setahun sekali. Semua wanita hamil sepatutnya melakukan ujian Chlamydia. Apa-apa perubahan terhadap organ kelamin anda seperti keputihan yang luar biasa, sakit ketika kencing, ruam atau lepuh, anda harus menghentikan kegiatan seks serta merta dan berjumpa doktor untuk mendapatkan kepastian tentang jangkitan atau perubahan yang berlaku.

Mereka yang dijangkiti Chlamydia serta pasangan seksnya hendaklah berhenti dari melakukan hubungan seksual sehingga tamat tempoh berubat. Jika tidak, penyakit ini akan terus berjangkit dan tidak dapat sembuh.

  1. January 30, 2009 at 3:17 AM | #1

    Hello, I can’t understand how to add your blog ( sharingcaring.wordpress.com ) in my rss reader

  1. No trackbacks yet.
Comments are closed.
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: